Selangor catat kes kebankrapan tertinggi, guru paling ramai

Antara punca penjawat awam bakrap ialah komitmen pinjaman peribadi yang tinggi. - Gambar hiasan
JASIN: Selangor merekodkan jumlah kes kebankrapan tertinggi di negara ini, dengan golongan guru merupakan antara penjawat awam yang paling ramai terlibat, kata Ketua Pengarah Insolvensi Malaysia Datuk Ishak Bakri.
Ringkasan AI
- Selangor catat jumlah kes kebankrapan tertinggi di Malaysia, dengan golongan guru antara yang paling ramai terlibat, kata Ketua Pengarah Insolvensi Malaysia.
- Golongan berpendapatan tetap lebih terdedah kepada risiko kebankrapan disebabkan komitmen pinjaman peribadi tinggi, ungkap data dan program literasi kewangan oleh Jabatan Insolvensi Malaysia.
- 200,000 individu berjaya dilepaskan daripada status kebankrapan tahun lepas, melepasi sasaran KPI; pindaan Akta Insolvensi 2023 beri kuasa kepada Ketua Pengarah Insolvensi untuk pelepasan individu bankrap tanpa perlu perintah mahkamah.
"Golongan ini mempunyai pendapatan tetap, menyebabkan akses kepada pinjaman lebih mudah, namun apabila komitmen tidak terkawal, ia memberi tekanan kewangan jangka panjang," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Program Literasi Kewangan bersama Institusi Pengajian Tinggi di Politeknik Merlimau Melaka (PMM), di sini hari ini.
Dalam pada itu, Ishak berkata 200,000 individu berjaya dilepaskan daripada status kebankrapan tahun lepas, sekali gus melepasi sasaran Petunjuk Prestasi Utama (KPI) ditetapkan kerajaan.
Beliau berkata sistem insolvensi negara kini tidak lagi bersifat menghukum, sebaliknya menumpukan kepada aspek kebajikan dan pemulihan, selaras dengan dasar kerajaan untuk memberi peluang kedua kepada rakyat.
"Antara pembaharuan utama ialah pindaan Akta Insolvensi pada 2023 yang memberi kuasa kepada Ketua Pengarah Insolvensi untuk melepaskan individu bankrap tanpa perlu melalui perintah mahkamah, tertakluk kepada kriteria ditetapkan di bawah pelaksanaan Dasar Peluang Kedua," katanya.
Ishak berkata kriteria pelepasan termasuk individu berusia lebih 70 tahun, kes kebankrapan yang berlarutan terlalu lama serta individu yang disahkan mengalami masalah kesihatan mental.
"Malaysia antara negara terawal yang memasukkan elemen kesihatan mental sebagai kriteria pelepasan kebankrapan. Jika disahkan oleh panel doktor secara sulit, pelepasan boleh dibuat serta-merta," katanya.
Ishak berkata MDI turut merancang untuk memperkenalkan kriteria baharu pelepasan kebankrapan menerusi mekanisme laluan pantas melibatkan ibu tunggal yang menanggung anak, mangsa penipuan kewangan serta peminjam mikro.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


