Skip to main content

Malaysia

Selangor perkukuh sistem sokongan pendidikan, STEM dalam Belanjawan Negeri 2027

KUALA LUMPUR, 28 Ogos -- Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari menjawab pertanyaan media selepas Majlis Perasmian Kolej Tingkatan Enam Gombak (KTEGO) dan Majlis Anugerah Kecemerlangan Akademik Tahun 2026 di KTEGO hari ini.  -- fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA
Amirudin menjawab pertanyaan media selepas Majlis Perasmian Kolej Tingkatan Enam Gombak (KTEGO) dan Majlis Anugerah Kecemerlangan Akademik Tahun 2026 di KTEGO hari ini. - Foto Bernama
Advertisement

KUALA LUMPUR: Kerajaan Selangor akan menumpukan kepada pengukuhan sistem sokongan pendidikan serta meningkatkan penglibatan pelajar dalam bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) menerusi Belanjawan Negeri 2027.

Menteri Besar Datuk Seri Amirudin Shari berkata tumpuan itu termasuk usaha mengekalkan kecemerlangan akademik serta menyediakan lebih banyak ruang untuk penglibatan pelajar dalam STEM.

Beliau berkata usaha itu penting memandangkan Selangor mempunyai kira-kira sejuta pelajar, justeru peningkatan pencapaian mereka mampu membawa impak yang besar terhadap masyarakat dan negara.

“Menerusi belanjawan kita akan mengukuhkan penglibatan mereka dalam STEM serta ada beberapa usaha...supaya mereka dapat berkhidmat kepada masyarakat.

“Kalau sejuta (pelajar) ini mencatat pencapaian cemerlang, ada impak yang baik kepada masyarakat, akan beri dorongan yang sangat positif kepada negara," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Kolej Tingkatan Enam Gombak dan majlis Anugerah Kecemerlangan Akademik 2026 di Gombak, di sini hari ini.

Mengenai usaha menaik taraf infrastruktur sekolah, Amirudin berkata kerajaan negeri kini sedang mengumpul maklumat terperinci berkenaaan perkara itu sebelum sebarang peruntukan dimuktamadkan.

Beliau berkata selain itu, kerajaan negeri turut memperkenalkan Himpunan Pelajar Tingkatan Enam Selangor (HIPSTERS) sebagai platform sokongan buat pelajar sebagai persediaan sebelum melangkah ke menara gading.

Menerusi program tersebut, baucar buku dan data Internet percuma  turut disediakan untuk pelajar Tingkatan Enam dengan jumlah penerima baucar buku melibatkan 10,000 orang tahun ini berbanding hanya pelajar universiti sebelum ini, katanya.

Beliau berkata kerajaan negeri sedia mempertimbangkan peluasan bagi baucar buku dan data Internet percuma supaya melibatkan lebih ramai pelajar Tingkatan Enam pada masa hadapan berdasarkan keperluan dan permintaan.

-- BERNAMA

 

Must Watch Video

Advertisement