Selangor peruntuk RM30 juta untuk Program Bantuan Sekolah

Amirudin membentangkan laporan Belanjawan Selangor 2026 pada persidangan Dewan Undangan Negeri Selangor di Bangunan Dewan Negeri Selangor hari ini. - Gambar Bernama
SHAH ALAM: Kerajaan Selangor akan meneruskan Program Bantuan Sekolah pada tahun hadapan menerusi peruntukan RM30 juta disediakan dalam Belanjawan Negeri Selangor 2026, kata Menteri Besar Datuk Seri Amirudin Shari.
Ringkasan AI
- Kerajaan Selangor akan teruskan Program Bantuan Sekolah tahun depan dengan peruntukan RM30 juta bagi membaik pulih infrastruktur dan cipta persekitaran pembelajaran kondusif.
- Bantuan melibatkan enam jenis sekolah untuk meningkatkan motivasi guru dan pelajar mencapai kecemerlangan dalam pelajaran.
- Selain itu, program bersama Persatuan Ibu Bapa Guru (PIBG) akan dilaksanakan bagi membasmi masalah buli dan jenayah di sekolah, sementara subsidi yuran KAFA Integrasi RM30 sebulan disediakan kepada murid B40.
"Kerajaan negeri berharap insentif ini berupaya meningkatkan motivasi guru dan pelajar untuk terus mencapai kecemerlangan dalam pelajaran," katanya ketika membentangkan Belanjawan Selangor 2026 di Dewan Negeri Selangor di sini hari ini.
Amirudin berkata 873 sekolah telah menerima manfaat daripada bantuan tersebut tahun ini.
Dalam pada itu, Amirudin berkata sebagai reaksi kepada isu yang berlaku membabitkan kejadian buli di sekolah baru-baru ini, kerajaan negeri bersetuju untuk melaksanakan program bersama Persatuan Ibu Bapa Guru (PIBG) di seluruh sekolah di Selangor.
Beliau berkata program itu akan memberi tumpuan kepada usaha membasmi masalah buli dan jenayah di sekolah.
Selain itu, beliau berkata kerajaan negeri juga bersetuju untuk meneruskan pemberian subsidi yuran KAFA Integrasi berjumlah RM30 sebulan kepada setiap murid B40 dengan purata pendapatan isi rumah sebanyak RM3,000 ke bawah.
Amirudin berharap bantuan itu dapat meringankan beban kewangan ibu bapa dan penjaga manakala, anak-anak pula dapat terus menikmati pendidikan Islam dengan sempurna tanpa sebarang kekangan.
"Bagi tujuan ini, kerajaan negeri memperuntuk sejumlah RM5 juta khusus bagi menampung bantuan subsidi yuran KAFA," katanya.
--BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


