KUALA LUMPUR: Nilai import gandum belum dikilang ke Malaysia pada Mei 2022 meningkat 98.5 peratus tahun ke tahun kepada RM227.5 juta dengan Selangor, Pulau Pinang dan Sabah, muncul sebagai pengimport tertinggi komoditi itu, kata Jabatan Perangkaan Malaysia.

Dalam satu kenyataan hari ini, Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata, Selangor mencatatkan import tertinggi bagi gandum belum dikilang bernilai RM101.0 juta (44.4 peratus), diikuti Pulau Pinang (RM74.2 juta atau 32.6 peratus) dan Sabah (RM19.0 juta atau 8.3 peratus).

Bagaimanapun, import menurun di Melaka (-RM137.0 juta), Perlis (-RM14.3 juta), Kelantan (-RM8.5 juta) dan Labuan (-RM1.2 juta).

Untuk jumlah dagangan keseluruhan, import pada bulan Mei 2022 meningkat RM29.3 bilion (37.3 peratus) berbanding bulan yang sama tahun sebelumnya.

Peningkatan import terutama dicatatkan antaranya di Pulau Pinang (RM10.7 bilion), Johor (RM5.2 bilion), Selangor (RM3.8 bilion), Kuala Lumpur (RM3.4 bilion) dan Kedah (RM1.8 bilion).

Beralih kepada prestasi eksport mengikut negeri, Mohd Uzir berkata, eksport juga meningkat sebanyak 30.5 peratus kepada RM28.2 bilion berbanding bulan yang sama tahun sebelumnya.

Eksport lebih tinggi direkodkan bagi kebanyakan negeri iaitu Pulau Pinang (RM13.3 bilion), Johor (RM5.2 bilion), Sarawak (RM3.6 bilion), Kuala Lumpur (RM2.9 bilion) dan Selangor (RM2.2 bilion).

Sementara itu, bagi eksport, Pulau Pinang kekal sebagai pengeksport utama dengan sumbangan 31.0 peratus, diikuti oleh Johor (21.0 peratus), Selangor (16.8 peratus), Sarawak (8.8 peratus) dan Kuala Lumpur (4.5 peratus)

Bagaimanapun, eksport menyusut di Melaka (-RM951.0 juta), Perak (-RM443.8 juta), Terengganu (-RM375.1 juta), Negeri Sembilan (-RM193.9 juta) dan Kelantan (-RM25.0 juta).

Antara lima negeri pengimport utama, Pulau Pinang menjadi penyumbang utama dengan 26.3 peratus, diikuti oleh Selangor (24.1 peratus), Johor (19.1 peratus), Kuala Lumpur (8.8 peratus) dan Kedah (5.8 peratus).
- BERNAMA