KUALA LUMPUR: Beberapa syarikat pengeluar tepung dalam negara menjangkakan bekalan bahan itu dalam negara tidak terjejas susulan larangan eksport gandum yang dikenakan India.

Pengurus Pemasaran Bidara Flour Sdn Bhd Arifin Aziz berkata bekalan untuk syarikat itu tidak terjejas dengan larangan itu, kerana syarikat itu mengambil tepung yang telah siap diproses di negara berkenaan dan bukannya gandum mentah yang dilarang untuk eksport.

"Yang disekat adalah biji gandum, dan kami ambil tepung gandum siap diproses. Jadinya, ia tidak mendatangkan isu kepada bekalan," katanya kepada Bernama.

Stok tepung syarikat itu katanya masih mampu menampung keperluan penjualan untuk tempoh tiga hingga empat bulan akan datang.

Arifin berkata pemain industri telahpun bersedia menghadapi kekurangan bekalan tepung sejak tercetusnya peperangan di antara Ukraine dan Rusia.

"Di sini ada dua isu, salah satu faktornya sekatan benih gandum di India dan berlakunya peperangan di Ukraine. Jadi, syarikat mahupun kilang-kilang di Malaysia telah mengambil langkah untuk membeli bekalan lebih awal dan menyimpan stok," katanya.

Bagaimanapun, Arifin berkata pihaknya menjangkakan harga jualan akan meningkat kesan daripada kenaikan harga gandum di seluruh dunia, ekoran ketidakstabilan pasaran dan susut nilai mata wang negara.

"Hal ini disebabkan kenaikan harga bahan mentah dan mata wang negara kita yang sudah merudum. Kami menjangkakan harga barang mentah gandum akan meningkat sebanyak 30 peratus dalam tempoh enam bulan akan datang," katanya.

Sementara itu Pengurus Kilang Faiza Food Sdn Bhd Nor Haida Ishak pula menjelaskan, syarikat itu telah mendapat jaminan bahawa pesanan bekalan tepung syarikat itu untuk dua bulan akan datang, tidak akan terjejas oleh pembekal mereka di India.

"Kami dapat jaminan verbal sebulan dua ini tidak akan ada masalah. Buat masa kini, syarikat mempunyai simpanan bekalan sebanyak 300 tan yang mampu menampung keperluan penjualan untuk dua minggu," katanya.

Namun, Nor Haida berkata Faiza Food juga sudah mula memerhatikan kenaikan harga barang mentah sejak awal tahun ini lagi dan memberi amaran bahawa ia akan spill-over ke pasaran domestik.

"Kalau dilihat pada situasi semasa, memang sudah mula kenaikan harga. Kami masih mengambil pendekatan untuk tunggu dan lihat, kerana kami tidak mahu menaikkan harga jualan di pasaran. Tetapi, harga mungkin terpaksa dinaikkan dalam masa dua atau tiga bulan nanti," katanya.

Baru baru ini, India dilaporkan melaksanakan larangan eksport gandum untuk menjamin keperluan keselamatan makanan yang merisaukan akibat fenomena gelombang haba yang telah menjejaskan pengeluaran gandum di negara itu.

Susulan itu, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna dilaporkan menjangka bekalan tepung gandum negara tidak terjejas kerana Malaysia mengimport 80 peratus biji gandum dari negara lain, dan tidak bergantung kepada India semata-mata.

-- BERNAMA