Skip to main content

Malaysia

Selangor sasar 9 juta pelancong sempena Tahun Melawat Selangor 2026

Amirudin Shari
Amirudin (tiga, kiri) ketika hadir pada Majlis Anugerah Pelancongan Negeri Selangor 2026 baru-baru ini. -Foto Bernama/Tourism Selangor
Advertisement

KUALA LUMPUR: Kejayaan Tahun Melawat Selangor 2025 menjadi asas kukuh bagi pelaksanaan Tahun Melawat Selangor 2026 yang menyasarkan sembilan juta pelancong, sekali gus memperkukuh kedudukan Selangor sebagai pintu masuk utama pelancongan serantau.

Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari berkata bagi menyokong aspirasi itu, kerajaan Selangor menerusi Tourism Selangor terus mempergiat pelbagai inisiatif promosi menerusi kempen Surprising Selangor, Selangor Kan Ada! dan Liburan Sehat Ya di Selangor Aja! untuk pasaran domestik serta antarabangsa.

“Kejayaan Selangor hari ini ialah hasil komitmen berterusan seluruh ekosistem pelancongan yang berganding bahu membangunkan industri berkenaan.

“Dalam sektor pelancongan, Selangor terus mencipta sejarah dengan mengekalkan kedudukannya sebagai negeri paling ramai dikunjungi di Malaysia selama lima tahun berturut-turut sejak 2021,” katanya ketika berucap pada Majlis Anugerah Pelancongan Negeri Selangor 2026, di sebuah hotel di Selangor, baru-baru ini.

Beliau berkata pada 2025, Selangor merekodkan 36.4 juta pelawat domestik, iaitu meningkat sebanyak 5.5 peratus berbanding tahun sebelumnya.

“Pencapaian ini mengukuhkan kedudukan Selangor sebagai destinasi pilihan pelancong, selain menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi dan kekuatan fiskal negeri.

“Selangor juga kekal sebagai penyumbang terbesar kepada ekonomi negara dengan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) berjumlah RM460.1 bilion, mewakili 26.5 peratus daripada keseluruhan ekonomi Malaysia,” katanya.

Amirudin berkata pencapaian berkenaan mencerminkan kekuatan ekonomi negeri, keyakinan pelabur serta keberkesanan dasar pembangunan yang dilaksanakan secara mampan dan inklusif.

Sementara itu, menurut kenyataan Tourism Selangor Sdn Bhd, kerajaan negeri menerusi Tourism Selangor terus memperkukuh komitmen dalam membangunkan industri pelancongan menerusi penganjuran Anugerah Pelancongan Negeri Selangor 2026.

“Anugerah ini merupakan platform berprestij yang mengiktiraf kecemerlangan, inovasi dan sumbangan pemain industri dalam memperkukuh jenama Selangor pada peringkat domestik dan antarabangsa.

“Seiring dengan aspirasi Tahun Melawat Selangor 2026, sebanyak 26 kategori anugerah diperkenalkan bagi mengiktiraf kecemerlangan pemain industri pelancongan negeri,” menurut kenyataan itu.

Anugerah berkenaan merangkumi kategori utama seperti Best Integrated Resort & Theme Park Destination, International Tourism Partnership Award dan Selangor Cruise Tourism Excellence Award, selain beberapa kategori lain.

Penganjuran Anugerah Pelancongan Negeri Selangor 2026 membuktikan komitmen berterusan kerajaan negeri dan Tourism Selangor dalam menghargai sumbangan pemain industri, memperkukuh budaya kecemerlangan serta memastikan Selangor kekal sebagai destinasi pelancongan pilihan utama di Malaysia dan rantau ASEAN.

-- BERNAMA

 

 

 

Must Watch Video

Advertisement