SHAH ALAM:Selangor merancang untuk mewujudkan Pusat Kuarantin Transit di daerah Klang, Hulu Langat, Petaling dan Sepang sebagai permulaan, dalam usaha menangani penularan pandemik COVID-19 dalam komuniti.

Menteri Besar Datuk Amirudin Shari berkata fasilitili itu akan bertindak sebagai sokongan kepada individu disahkan positif COVID-19, atau yang sedang menunggu keputusan ujian saringan, bagi menjalani kuarantin kendiri sementara dengan lebih selesa, sebelum dihantar untuk rawatan di hospital.

Sejak kebelakangan ini, empat daerah berkenaan berterusan menjadi penyumbang tertinggi kepada kes positif harian COVID-19 di Selangor yang mencatatkan sebanyak 1,082 kes baharu dengan jumlah kumulatif 83,281 kes sehingga semalam.

Amirudin berkata inisiatif kerajaan negeri itu akan memberi fokus kepada golongan berkenaan khususnya penduduk di Projek Perumahan Rakyat (PPR) yang tidak mempunyai ruang untuk kuarantin kendiri di rumah.

"Pusat Kuarantin Transit ini adalah untuk golongan terbabit atau mana-mana individu yang kediamannya tidak sesuai untuk kuarantin kendiri, kerana pengudaraan rumah yang kurang bagus serta bilangan bilik tidak banyak tetapi isi rumah ramai," katanya kepada Bernama ketika ditemui baru-baru ini.

"Bagi individu yang sedang kuarantin kendiri sementara di fasiliti itu dan ujian saringannya disahkan positif, mereka akan terus dihantar ke Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 Berisiko Rendah (PKRC) di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS) Serdang atau ke hospital," tambahnya.

Tambah beliau, beberapa lokasi berhampiran Pusat Penilaian COVID-19 (CAC) di daerah terlibat telah dikenal pasti untuk dibangunkan Pusat Kuarantin Transit berkenaan bagi memudahkan urusan petugas kesihatan dan individu positif virus tersebut.

Mengulas mengenai vaksin COVID-19 pula, Amirudin memberi jaminan pembelian oleh kerajaan negeri tidak lari daripada perolehan yang ditetapkan oleh kerajaan pusat.

"Kita sedang meneliti senarai vaksin yang dibeli oleh kerajaan pusat. Setakat ini, kita dimaklumkan mereka akan beli vaksin Pfizer, AstraZeneca, Sinovac, Cansino serta Sputnik V. Kelima-lima vaksin ini sedang dalam proses pengesahan daripada Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA). Apabila ia diluluskan, kita akan beli dan juga bincangkan perolehannya," katanya.

Amirudin berkata inisiatif kerajaan negeri untuk membeli tiga hingga lima juta dos vaksin COVID-19 bertujuan mempercepat dan melengkapkan usaha pemberian vaksin khususnya kepada penduduk di Selangor.

"Kerajaan negeri tidak akan ganggu 'enrollment' kerajaan pusat tapi kita akan tambah dengan menawarkan (vaksin) kepada sektor perusahaan serta kilang bagi mempercepatkan pemberian vaksin kepada golongan sasar.

"Dengan cara ini, kita akan memperbanyak dan mempercepatkan kewujudan 'imuniti kelompok', yakni apabila lebih ramai orang divaksin, mereka akan menjadi imun. Untuk hasilkan imuniti kelompok itu, kita kena ada banyak (jumlah vaksin) dan cepat (beri suntikan)," katanya.

Sebelum ini, kerajaan negeri mengumumkan untuk membeli tiga hingga lima juta dos vaksin COVID-19 bagi keperluan penduduk di Selangor, termasuk pekerja asing.

-- BERNAMA