Ringkasan AI
- Kerajaan Negeri Selangor bersedia membuat pinjaman daripada Kerajaan Persekutuan untuk mempercepat projek mitigasi banjir dan penyelesaian sistem perparitan di peringkat PBT.
- Kerajaan negeri memperuntukkan RM100 juta bagi mitigasi banjir tahun hadapan dan bersedia menanggung perbelanjaan tambahan jika diperlukan.
- PBT diarahkan menggunakan 20 hingga 30 peratus rizab untuk pengurusan banjir, serta penekanan kepada kerjasama antara agensi bagi menangani isu banjir.
SHAH ALAM: Kerajaan Negeri Selangor bersedia membuat pinjaman daripada Kerajaan Persekutuan sekiranya diperlukan bagi mempercepat pelaksanaan projek mitigasi banjir, termasuk menyelesaikan masalah sistem perparitan pada peringkat pihak berkuasa tempatan (PBT).
Menteri Besar Datuk Seri Amirudin Shari berkata langkah itu menunjukkan komitmen kerajaan negeri untuk memastikan masalah banjir, khususnya banjir kilat yang banyak berlaku di kawasan bandar dapat ditangani secara lebih menyeluruh.
“Memandangkan kerajaan negeri sudah tidak mempunyai apa-apa pinjaman daripada Kerajaan Persekutuan, saya percaya kalau nilainya puluhan juta sampai bilion ringgit, I think it’s worth it untuk kerajaan negeri membuat pinjaman untuk selesaikan masalah perparitan ini, termasuk pada peringkat PBT,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika sesi Penggulungan Perbahasan Anggaran Perbelanjaan Pembangunan 2027 pada Persidangan Dewan Undangan Negeri Selangor, hari ini.
Dalam pada itu, Amirudin berkata kerajaan negeri turut memperuntukkan RM100 juta bagi tujuan mitigasi banjir pada tahun hadapan, iaitu hampir sekali ganda berbanding peruntukan pada 2022.
Di samping itu, beliau berkata kerajaan negeri juga bersedia menanggung perbelanjaan tambahan bagi memastikan projek berkaitan dapat dilaksanakan tanpa terlalu terikat dengan kekangan kewangan.
Selain itu, Amirudin turut mengarahkan PBT menggunakan antara 20 hingga 30 peratus daripada rizab masing-masing khusus untuk pengurusan banjir bagi meningkatkan daya tahan kawasan bandar terhadap risiko perubahan cuaca.
“Selain itu, isu yang saya rasa perlu diberi penekanan adalah termasuk gerak kerja, pemerhatian, hubungan antara semua agensi untuk bekerja sebagai satu pasukan untuk menangani isu banjir ini,” katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata masalah banjir di kawasan Parit Mahang di Ijok bukan sahaja berpunca daripada limpahan air, malah turut dipengaruhi sistem perparitan yang perlahan akibat struktur pembetung (culvert) di hadapan rumah, selain kejadian ban pecah dan fenomena air pasang besar.
Amirudin berkata kerja mengepam air di Parit Mahang hanya dapat dimulakan selepas 20 hari banjir berikutan paras air pasang yang tinggi sebelum itu menyebabkan usaha pengepaman tidak berkesan.
“Air yang dipam disalurkan terus ke sungai atau laut bagi membantu mengurangkan takungan air di kawasan terjejas,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata pelaksanaan proses merampas tanah yang digunakan sebagai tapak pembuangan sampah haram di kawasan Ijok dijangka selesai pada Mac 2027.
-- BERNAMA