Sektor pendidikan mendapat suntikan RM101.73 juta dalam pembentangan Bajet Selangor 2018.

Menteri Besar Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata ia adalah bagi memperkasa kualiti pendidikan dan kemahiran berinovasi.

"Dalam usaha memperkasa kualiti pendidIkan tinggi, kerajaan negeri memperuntukkan RM48.5 juta khusus untuk Universiti Selangor (UNISEL) dan Kolej Universiti Islam Selangor (KUIS)," katanya ketika membentangkan Bajet 2018 Selangor di Shah Alam pada Jumaat.

Tambah Mohamed Azmin, melalui inisiatif Peduli Siswa Timur Tengah, sebanyak RM10 juta diperuntukkan bagi pembiayaan 738 mahasiswa yang merangkumi kos sara hidup dan penginapan.

Katanya, bermula tahun depan syarat kelayakan pendapatan isi rumah bagi calon program hadiah pengajian institusi pengajian tinggi akan dinaikkan dari RM3,000 kepada RM5,000.