Selangor terus kempunan untuk raih kemenangan dalam kempen Liga Super selepas terikat satu-sama menentang Johor Darul Takzim di sini semalam.

Turun buat kali pertama di laman sendiri musim ini, Selangor tekad buru tiga mata penuh.

Skuad kendalian Mehmet Durakovic bermula baik dan memperoleh jaringan seawal saat ke-35 permainan.

“Johor JDT mempunyai tahap yang bagus dan mempunyai pemain tempatan dan import yang sangat bagus.

“Tapi pada hari ini kami setanding mereka daripada segala segi.

“Sayangnya kami melepaskan satu gol yang sepatutnya boleh dielakkan,” kata Mehmet.

Percubaan Andik Vermansyah di hadapan kawasan penalti menewaskan penjaga gawang JDT, Farizal Marlias.

Permainan terus seimbang selepas itu dengan kedua-dua pasukan saling cipta peluang namun keputusan satu-kosong kekal tamat babak pertama.

Bersambung selepas rehat, JDT tingkatkan asakan dengan dua percubaan Safiq Rahim tersasar.

Usaha itu buahkan hasil pada minit ke-62 apabila Luciano Figeroua bijak buat tindakan susulan apabila percubaan awal Safiq Rahim ditepis Norazlan Razali.

Jaringan itu bagaimanapun cetus kontroversi selepas pemain Selangor, Azmi Muslim ditimpa kecederaan dan pemain-pemain JDT enggan menghentikan permainan.

Keputusan satu-sama itu kekal sekaligus menyaksikan kedua-dua pasukan terpaksa berpuas hati dengan satu mata.

“Kami banyak mendominasi permainan namun gol permulaan merosakkan rancangan kami.

“Tetapi secara statistik kesudahannya kami membuat 13 percubaan tepat dan mereka hanya membuat tiga percubaan.

“Secara keseluruhan, itu menunjukkan kami mendominasi perlawanan. Terdapat banyak peluang, malangnya tiada kesudahan yang bagus,” jurulatih JDT, Bojan Hodak berkata.