SHAH ALAM: Kerajaan Selangor akan meneruskan pengecualian cukai taksiran bagi pemilik kediaman kampung daripada golongan yang memerlukan serta berpendapatan sederhana, kata Exco Kerajaan Tempatan dan Pelancongan negeri Datuk Ng Suee Lim.

Ng berkata bagi memastikan program itu berjalan lancar, proses berkenaan akan dimulakan dengan pengeluaran bil secara fizikal pada akhir Februari ini oleh setiap pihak berkuasa tempatan (PBT) kepada pemilik kediaman kampung.

"Pemilik kediaman kampung yang menepati syarat kelayakan boleh memohon bermula 1 Mac hingga 31 Mei depan dan setiap keputusan permohonan boleh disemak mulai 1 Sept.

"Syarat kelayakan adalah pemohon merupakan warganegara Malaysia yang menetap di Selangor dan pemilik (rumah) berdaftar kediaman kampung dengan keluasan rumah kampung 2,000 kaki persegi dan ke bawah," menurut kenyataan itu.

Selain itu, Ng berkata pendapatan bulanan isi rumah hendaklah RM5,000 dan ke bawah serta pemohon hanya layak untuk masing-masing satu akaun dan rumah sahaja.

"Pusat khidmat masyarakat bersedia membantu mempercepatkan proses permohonan yang akan dibuat secara dalam talian atau fizikal," katanya.

Menurutnya pada tahun lepas kerajaan Selangor telah membantu hampir 100,000 pemilik kediaman kampung di seluruh negeri itu melalui pengecualian cukai taksiran dengan kos RM11.551 juta.

"Sejak bermulanya usaha ini, sebanyak 745,790 unit telah diberikan pengecualian dengan peruntukan RM91.498 juta," katanya.

-- BERNAMA