KUALA LUMPUR:Sebagai langkah mendepani cabaran Perintah Kawalan Pergerakan 2.0 (PKP2.0) kerajaan negeri Selangor hari ini mengumumkan pakej bantuan khusus untuk rakyat negeri ini.

Dinamakan Pakej Kita Selangor, ia memberi implikasi kewangan berjumlah RM73.877 juta kepada kerajaan negeri.

Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, beberapa inisiatif bakal dan sedang dilaksanakan di bawah pakej ini, merangkumi bantuan khas rakyat sepanjang PKP, usaha merangsang ekonomi, bantuan kepada mangsa banjir dan tabung khas COVID-19.

"Bagi bantuan khas PKP, kerajaan negeri memperuntukkan kira-kira RM6 juta untuk melaksanakan saringan bersasar, dengan fokus diberi kepada warga emas, golongan B40 dan mahasiswa Selangor.

"Kerajaan negeri menerusi Selgate Healthcare telah menambahbaik fungsi aplikasi SELangkah untuk turut membantu dalam pengawasan kendiri (self monitor) pesakit COVID-19.

"Bagi mengurangkan beban ke atas petugas barisan hadapan KKM, Bas Smart Selangor akan digunakan secara percuma untuk menghantar pesakit dari rumah ke MAEPS, Serdang.

"Peruntukan RM100,000 pula diberikan setiap satu daripada 56 DUN menerusi Peruntukan
Khas Selangor Mesra Rakyat, sekali gus membolehkan program atau aktiviti Mesra Rakyat yang melibatkan perolehan bekalan asas seperti beras, minyak masak, tepung, makanan dalam tin dan lain-lain boleh dilaksanakan secara terus," ujarnya.

BACA: Amirudin sumbang sebulan gaji, aktifkan semula tabung khas bencana COVID-19

Amirudin juga mahu menyegerakan semua perancangan dan inisiatif yang dirancang dalam Belanjawan Selangor 2021.

"Antara strategi utama ialah Program Digitalisasi di mana kerajaan negeri akan membelanjakan RM 369 juta melalui dana negeri dan anak-anak syarikat.

"Pelaksanaan PKP bermula 13 Januari telah menuntut agar beberapa inisiatif ini dipercepatkan atas keperluan membantu golongan peniaga kecil, usahawan, penjaja yang terjejas serta pada masa yang sama memacu agenda digitalisasi Selangor," katanya.

Tidak dilupakan, bantuan untuk negeri-negeri yang dilanda musibah banjir berjumlah RM2 juta.

"Bagi menyantuni jiran-jiran tetangga kita, Kerajaan Negeri bersedia menghulurkan Sumbangan Bantuan Banjir #KitaSelangor berjumlah RM1 juta untuk negeri Pahang. Rakyat Kelantan dan Terengganu masing-masing akan turut menerima Sumbangan Bantuan Banjir berjumlah RM500,000," tambahnya.