NATIONAL
Selatan Global perlu rebut peluang bentuk semula multilateralisme - Mohamad Hasan

Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, peningkatan tarif perlindungan sejak kebelakangan ini bukan sahaja mengancam sistem pelbagai hala, malah menunjukkan bahawa sistem lama semakin tidak relevan. - Astro AWANI
NEGARA: Negara Selatan Global perlu bergerak melangkaui peranan lama mereka dalam sistem dunia dan memainkan peranan lebih aktif untuk membentuk sistem pelbagai hala yang lebih adil dan inklusif.
Ringkasan AI
- Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan menyeru negara Global Selatan agar lebih aktif membentuk sistem dunia yang adil dan inklusif, bukan sekadar pemerhati.
- Beliau menekankan peranan penting ASEAN dalam kestabilan ekonomi serantau serta usaha Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN 2025 memperkukuh kerjasama dan rantaian bekalan.
- Malaysia menyokong kerjasama dengan negara yang berkongsi visi dunia pelbagai hala dan menolak pandangan sempit bahawa Global Selatan adalah miskin atau tidak relevan.
Mohamad berkata, negara-negara membangun kini perlu dilihat sebagai pemain penting dalam perubahan sistem dunia, bukan lagi sekadar pemerhati.
Beliau turut menekankan peranan ASEAN yang semakin besar, dengan gabungan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebanyak AS$3.8 trilion dan lebih 677 juta penduduk.
“Sebagai Pengerusi ASEAN tahun ini, Malaysia membawa strategi serantau yang menekankan kesepaduan ekonomi dan kepelbagaian strategi. Antara keutamaannya termasuk memperkukuh perdagangan dalam rantau dan mempertingkat daya tahan rantaian bekalan,” katanya.
Menurut beliau, usaha itu juga boleh menjadi panduan kepada negara-negara BRICS dalam mengimbangi kemakmuran dan kelestarian.
Mohamad menyifatkan BRICS bukan sekadar satu forum, sebaliknya satu kuasa yang berupaya menjadi pencetus kepada sistem dunia baharu yang lebih adil dan berkesan.
Mengulas kenyataan seorang pengulas Barat yang melabel Global Selatan sebagai “miskin”, Mohamad berkata pandangan itu tidak mengambil kira kebangkitan ekonomi dan pengaruh politik rantau tersebut.
“Adalah satu kesilapan besar jika menganggap negara-negara di Global Selatan bukan rakan yang bernilai,” katanya.
Beliau turut menegaskan bahawa Malaysia bersedia bekerjasama dengan mana-mana negara yang berkongsi visi untuk mewujudkan sistem dunia yang lebih adil, inklusif dan pelbagai hala.
“Laluan ke hadapan mungkin tidak mudah, tetapi kita boleh mengoraknya bersama dengan matlamat yang jelas,” katanya lagi.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami