KUALA LUMPUR: Selepas 53 tahun, Kerajaan Persekutuan hari ini bersetuju menaikkan pemberian khas kepada negeri Sabah menerusi pemberian khas baharu sebanyak 4.7 kali ganda daripada RM26.7 juta kepada RM125.6 juta bagi tahun 2022.

Amaun itu juga akan terus meningkat setiap tahun bagi tempoh 2023-2026 mengikut kadar kenaikan yang dipersetujui bersama.

Menerusi kenyataan bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor persetujuan ini merupakan satu petanda penting memandangkan kali terakhir kajian semula berkenaan dibuat pada 1969.

‘’Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Sabah telah berjaya mencapai kata sepakat mengenai kajian semula pemberian khas kepada Sabah di bawah Perkara 112D Perlembagaan Persekutuan pada hari ini.

‘’Ini merupakan susulan kepada beberapa perbincangan dan rundingan yang diadakan oleh Kementerian Kewangan dan Kerajaan Negeri Sabah, dengan kebanyakan terma dipersetujui pada 14 Februari 2022,’’ kata kenyataan itu.

Menerusi kenyataan sama, persetujuan kajian semula baharu ini juga merangkumi beberapa perkara antaranya Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Sabah akan terus berunding berhubung dengan tuntutan 40 peratus daripada hasil Sabah.

Selain itu, kajian semula pemberian khas di bawah Perkara 112D Perlembagaan Persekutuan akan dijalankan untuk mendapatkan suatu amaun pemberian khas baharu yang dapat mengimbangi keperluan negeri Sabah tanpa menjejaskan kedudukan kewangan Kerajaan Persekutuan.

‘’Sekiranya suatu amaun baharu yang dipersetujui oleh kedua-dua pihak berjaya dicapai sebelum tahun 2026, maka amaun baharu tersebut akan diguna pakai untuk menggantikan bayaran pemberian khas kepada negeri Sabah bermula tahun 2022,’’ katanya lagi.

Selain itu, persetujuan ini adalah tanpa prejudis terhadap kewajipan dan hak Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Sabah meneruskan kajian semula pemberian khas di bawah Perkara 112D Perlembagaan Persekutuan dengan mengambil kira kedudukan kewangan Kerajaan Persekutuan serta keperluan Kerajaan Sabah berhubung kos perkhidmatan negeri.

‘’Kerajaan Sabah juga berhak untuk bergantung kepada formula asal seperti yang dinyatakan dalam Perkara 112C dan Bahagian IV Jadual Kesepuluh Perlembagaan Persekutuan.

‘’Pelaksanaan kajian semula pemberian khas ini termasuk hak kedua-dua Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Sabah untuk merujuk perkara itu kepada penaksir bebas (jika tiada persetujuan dicapai) seperti yang dinyatakan dalam Perkara 112D (6) Perlembagaan Persekutuan.

Antara lain, kedua-dua pihak juga akan membekalkan data dan maklumat mengenai kedudukan kewangan Kerajaan Persekutuan serta keperluan Kerajaan Sabah berhubung kos perkhidmatan negeri yang akan diambil kira dalam proses kajian semula pemberian khas tersebut.