Ahli Parlimen Gua Musang, Tan Sri Tengku Razaleigh Hamzah berharap kerajaan dapat menangani segera isu atau kemelut yang melanda negara agar rakyat tidak terus berada dalam keadaan tertekan.

Beliau berkata, ketika ini negara dihimpit dengan berbagai masalah ekonomi, politik dan sosial yang menyebabkan rakyat turut merasainya.

Tengku Razaleigh yang juga bekas Menteri Kewangan berkata, masalah iklim ekonomi dunia menyebabkan nilai mata wang negara terus melemah sehingga negara dan rakyat terasa bebanannya.

Kejatuhan pasaran minyak sawit dan getah juga menyebabkan punca pendapatan rakyat yang bergantung kepada hasil komoditi itu terjejas.

Namun, beliau percaya kerajaan yang dibawah pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak telah melakukan yang terbaik mengikut ukuran kemampuan yang ada.

Di samping itu, Tengku Razaleigh berharap agar isu 1MDB dan perkara berkaitan dapat diselesaikan dengan segera bagi kesejahteraan hidup rakyat.

"Kita tak tengok lagi laporan daripada Ketua Audit Negara dan kita tak tahu lagi apa yang dilapor oleh pasukan petugas yang diwujudkan oleh kerajaan.

"Segala-segalanya amat mengelirukan. Keadaan ini tidak boleh diizin berterusan kerana rakyat susah, ekonomi pun tidak menentu," katanya kepada pemberita ketika Majlis Sambutan Aidilfitri Majlis Belia Kelantan di Bukit Cekati, Gua Musang pada petang Sabtu.


Ini bukan kali pertama bekas presiden parti Semangat 46 itu memberi pandangan yang dilihat kritikal terhadap pentadbiran.

Bekas menteri kewangan itu juga sering dikaitkan menjadi pilihan beberapa pemimpin pembangkang untuk menjadi Perdana Menteri.

Tengku Razaleigh dikatakan menjadi pilihan PAS untuk dicalonkan sebagai perdana menteri sebelum Pilihan Raya Umum ke-13 yang lalu.