SHAH ALAM: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Selangor menahan seorang Timbalan Pengarah di sebuah universiti awam kerana disyaki menyalahgunakan jawatan dan kedudukannya untuk mengambil wang berjumlah lebih RM30,000 hasil keuntungan program konferensi antarabangsa anjuran institusi berkenaan.

Menurut sumber, suspek lelaki berusia lingkungan 40-an itu merupakan profesor gred Jusa C ditahan pada jam 3.30 petang hari ini di Pejabat SPRM Selangor ketika hadir memberi keterangan.

Katanya, dalam kejadian yang berlaku pada Ogos 2021 itu, suspek dikatakan membuat keputusan sendiri untuk memasukkan wang keuntungan tersebut ke dalam akaun bank peribadi miliknya.

Sementara itu, Pengarah SPRM Selangor, Datuk Alias Salim mengesahkan penahanan tersebut dan berkata kes disiasat mengikut Seksyen 23 Akta SPRM 2009.

Beliau berkata suspek akan dibawa ke Mahkamah Majistret Shah Alam pagi esok bagi mendapatkan permohonan reman.

-- BERNAMA