SEPANG: Sebarang penjelasan lanjut berhubung dakwaan penyelewengan pelaburan berjumlah RM1.11 bilion membabitkan bekas menteri kanan sebuah kementerian akan dibuat oleh Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Datuk Ahmad Khusairi Yahaya.
Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki berkata beliau tidak mempunyai perkembangan terkini mengenai status siasatan memandangkan kes itu baharu saja dilaporkan.
Advertisement
"Timbalan saya akan mengulas (mengenai kes itu). Sebab ini baharu dilaporkan dan saya pun tiada perkembangan terkini tentang perkara ini sama ada dia dah buka betul-betul (kertas) siasatan, siapa nak dipanggil dan sebagainya. Saya tidak mahu ulas tentang ini," katanya pada sidang media selepas menghadiri program perasmian Kampung Angkat MADANI di sini hari ini
SPRM baru-baru ini mengesahkan telah menerima laporan berhubung dakwaan penyelewengan pelaburan RM1.11 bilion melibatkan bekas menteri kanan sebuah kementerian daripada gabungan beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) pada Khamis.
Ahmad Khusairi sebelum ini berkata SPRM akan meneliti keseluruhan laporan yang diterima bagi menentukan sama ada wujud sebarang elemen rasuah, penyelewengan atau salah guna kuasa di bawah Akta SPRM 2009.
Beliau berkata tindakan susulan termasuk meneliti dokumen dan bukti yang dikemukakan sebelum siasatan lanjut dijalankan seiring dengan komitmen terhadap integriti dan ketelusan dalam siasatan.
-- BERNAMA