Skip to main content

Malaysia

Seludup dadah: PDRM sahkan juruterbang Malaysia ditahan di Jakarta Selasa lalu

Shah Alam ,19 February 2026. Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Datuk Hussein Omar Khan pada sidang media di Mes Pegawai Kanan Polis IPK Selangor.Astro AWANI / SHAHIR OMAR
Hussein berkata lelaki berusia 39 tahun itu dipercayai berlepas dari Kuala Lumpur sebelum ditahan sejurus tiba di Terminal 3, Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno-Hatta, Jakarta, pada malam Selasa lalu.
Advertisement

KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengesahkan penahanan seorang juruterbang warga Malaysia di Indonesia kerana disyaki cuba menyeludup kira-kira 25 kilogram (kg) dadah ke negara itu.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Hussein Omar Khan, ketika dihubungi Astro AWANI, berkata lelaki berusia 39 tahun itu dipercayai berlepas dari Kuala Lumpur sebelum ditahan sejurus tiba di Terminal 3, Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno-Hatta, Jakarta, pada malam Selasa lalu.

"Ya PDRM sudah dimaklumkan (mengenai penahanan suspek) dan sedang mendapatkan maklumat lanjut daripada pihak berkuasa Indonesia," katanya di sini pada Jumaat.

Sementara itu, portal berita Indonesia melaporkan dadah berkenaan ditemukan selepas pegawai kastam mengesan sebuah bagasi yang mencurigakan ketika melalui pemeriksaan mesin pengimbas sinar-X.

Hasil pemeriksaan lanjut menemukan 14 bungkusan besar pil ekstasi dan satu bungkusan syabu dengan anggaran berat keseluruhan kira-kira 25kg.

Siasatan awal mendapati suspek mengaku bertindak sebagai keldai dadah bagi rangkaian sindiket penyeludupan dadah antarabangsa.

Suspek turut mengaku dijanjikan bayaran sebanyak RM50,000 oleh seorang dalang di Malaysia sebagai upah membawa bekalan dadah itu ke Jakarta.

Lelaki itu juga mendakwa diarahkan mendaftar masuk ke sebuah hotel di Jakarta sebelum dihubungi anggota sindiket untuk menyerahkan bagasi yang mengandungi dadah berkenaan.

Malah, suspek mengaku telah membawa bekalan dadah ke Indonesia sebanyak tiga kali sebelum ini, iaitu dua kali melalui Jakarta dan sekali ke sebuah wilayah lain.

Pihak berkuasa Indonesia percaya juruterbang berkenaan adalah sebahagian daripada rangkaian penyeludupan dadah antarabangsa dan siasatan lanjut masih dijalankan.

Sementara itu, Malaysia Airlines turut mengesahkan akan memberikan kerjasama sepenuhnya kepada pihak berkuasa Indonesia susulan penahanan seorang juruterbang syarikat penerbangan itu. 

Dalam kenyataan kepada Bernama pada Jumaat, syarikat penerbangan nasional itu memaklumkan pihaknya memandang serius dakwaan yang dikaitkan dengan kakitangannya dan akan mematuhi segala proses siasatan mengikut undang-undang serta peraturan yang berkuat kuasa.

Must Watch Video

Advertisement