GOMBAK: Semakin ramai individu dalam kalangan masyarakat Orang Asli bersetuju untuk menerima suntikan vaksin COVID-19, kata Timbalan Menteri Pembangunan Luar Bandar Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad.

Menurutnya, setakat ini, sebanyak 103,428 borang pendaftaran di bawah Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) telah diedarkan kepada komuniti itu di seluruh negara.

Daripada jumlah itu, seramai 26,469 orang telah menyatakan persetujuan untuk divaksinasi.

"Sejak 10 hari lalu, berlaku pertambahan pendaftaran sekitar 11,000. Jadi, sekarang ini, usaha kita masih banyak yang perlu dilakukan.

"Dan, kita sudah capai 40 peratus. Sementara 60 peratus lagi, ada yang menghantar borang, dan kita dalam proses memujuk mereka," katanya kepada pemberita ketika meninjau program vaksinasi Orang Asli di Hospital Orang Asli Gombak (HOAG), di sini, hari ini.

Pada 8 Jun lalu, Abdul Rahman berkata, seramai 63,734 individu Orang Asli tidak bersetuju menerima suntikan berdasarkan maklum balas daripada borang pendaftaran di bawah PICK.

Katanya, daripada 79,041 borang pendaftaran yang diterima pihaknya, hanya 15,307 individu daripada masyarakat itu menyatakan persetujuan. 

Dalam perkembangan berkaitan, Abdul Rahman berkata hari ini, seramai 82 individu Orang Asli di seluruh negara disahkan positif COVID-19 setakat ini.

Daripada jumlah tersebut, tiga dilaporkan meninggal dunia akibat wabak itu, kebanyakannya di Selangor.

BACA: Jakoa Negeri Sembilan bergerak aktif pastikan Orang Asli terima vaksin

BACA: COVID-19: Tok Batin terima suntikan vaksin, contoh terbaik yakinkan masyarakat Orang Asli

Justeru, beliau berkata, kementeriannya (KPLB) bersama Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) sedang giat mengalakkan pendaftaran vaksinasi dalam komuniti tersebut.

Antara lain, katanya, inisiatif yang diambil termasuk menjadikan Tok Batin sebagai ikon kepada masyarakat pribumi itu dalam meyakinkan mereka untuk menerima suntikan.

"Kita lancarkan supaya ikon mereka Tok Batin ini divaksinasi hari ini. Saya yakin para Tok Batin ini akan memujuk mereka agar angka yang bersetuju menerima vaksin meningkat.

"Saya yakin, kalau Tok Batin sudah ambil vaksin, anak buah dia akan ikut serta. Mereka sebenarnya ikon kepada penduduk setempat," tambahnya.

VIDEO: Vaksin COVID-19 | Program vaksinasi Orang Asli selesai akhir September


Dalam perkembangan sama, Abdul Rahman berkata KPLB juga dalam usaha mengaktifkan program vaksinasi bergerak ke kawasan-kawasan pedalaman di seluruh negara.

Tambah beliau, pihaknya menyedari kekangan yang dihadapi penduduk luar bandar termasuk Orang Kurang Upaya (OKU) dan warga emas yang sukar bergerak untuk mendapatkan vaksinasi.

BACA: Penduduk pedalaman Sarawak boleh dapatkan vaksin COVID-19 secara 'walk-in'

BACA: Vaksin dos tunggal CanSino sesuai digunakan di pedalaman Sarawak - Uggah

Perbincangan berhubung perkara itu telah dijalankan termasuk dengan mengarahkan agensi berkenaan mengubahsuai kenderaan untuk digerakkan ke kawasan pedalaman.

“Kita akan cuba sedaya upaya agar Julai ini boleh bergerak dan sasaran kita di seluruh negara supaya dos pertama boleh mula diberikan pada Ogos.

“Saya yakin menjelang November dan Disember, insya-Allah kita sudah boleh (memberikan vaksinasi kepada penduduk luar bandar) seberapa banyak yang boleh mengikut seruan kerajaan,” katanya.