KUALA LUMPUR: Bermula 1 April 2022, Malaysia dan Singapura akan membenarkan semua pengembara yang telah lengkap vaksinasi untuk merentas sempadan darat tanpa perlu menjalani kuarantin atau melaksanakan ujian COVID-19, termasuk ujian pra-pelepasan dan semasa ketibaan.

Dalam satu kenyataan bersama, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan rakan sejawatnya dari Singapura, Lee Hsien Loong berkata, kedua-dua negara mengakui perkembangan memberangsangkan khususnya dalam pelaksanaan program vaksinasi dan pengurusan pandemik COVID-19 bagi penduduk negara masing-masing.

Keputusan itu dibuat selepas perbincangan melalu panggilan telefon antara kedua-dua pemimpin itu, pada Khamis.

"Sejajar dengan peralihan kehidupan fasa mendepani pandemik COVID19, Malaysia dan Singapura bersetuju bahawa sudah tiba masanya untuk membuka sempadan darat kedua-dua negara bagi pengembara yang telah lengkap vaksinasi.

“Pengumuman hari ini mencerminkan hubungan baik, kerjasama pelbagai aspek, dan hubungan kukuh antara rakyat kedua-dua buah negara. Ini pastinya akan menyumbang kepada usaha-usaha pemulihan dengan impak positif ke atas ekonomi dan kesejahteraan rakyat kedua-dua negara,” kata Ismail Sabri.

BACA: Singapura buka sempadan kepada semua pengembara lengkap divaksin pada 1 April

Lee pula menyifatkan Singapura dan Malaysia menikmati hubungan yang mendalam, mesra dalam pelbagai aspek, serta hubungan antara rakyat yang kukuh.

“Pengumuman hari ini merupakan peristiwa penting dalam peralihan kita ke arah kehidupan dengan COVID-19. Ia mencerminkan kerjasama kukuh yang dinikmati kedua-dua pihak sepanjang pandemik ini dan akan membantu kededua negara muncul lebih kuat daripada krisis ini," katanya.