NATIONAL
Semua 24 anggota JPJ terlibat rasuah digantung tugas - Shaharuddin

Ketua Pengarah JPJ Datuk Shaharuddin Khalid berkata pergantungan itu akan dilaksanakan sejurus selepas kesemua mereka dibebaskan dari tahanan reman pada 23 April ini. - Foto Astro AWANI/Shahir Omar
Kesemua 24 anggota dan pegawai Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) yang ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana disyaki menerima rasuah berhubung kes melindungi kesalahan syarikat dan pemandu lori digantung tugas.
Ketua Pengarah JPJ Datuk Shaharuddin Khalid berkata pergantungan itu akan dilaksanakan sejurus selepas kesemua mereka dibebaskan dari tahanan reman pada 23 April ini.
"Tidak wajar untuk kita jalankan siasatan dalaman kerana SPRM sedang berbuat demikian, namun tindakan susulan yang JPJ ambil mengikut Peraturan 43, Peraturan-peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993.
"Kita akan gantung kerja selama dua bulan, selepas itu kita akan buat tindakan lain sementara menunggu proses mahkamah selesai, namun gaji akan tetap dibayar," katanya dalam sidang media tergempar di Ibu Pejabat JPJ, Putrajaya, pada Khamis.
Untuk rekod, beliau menyatakan sehingga Mac tahun ini kutipan hasil yang dilakukan oleh JPJ di seluruh negeri berjumlah RM1.04 bilion.
"JPJ Pulau Pinang tidak lumpuh dengan kekosongan 24 anggota itu, saya dah minta bahagian Zon Utara bekerjasama untuk melakukan kutipan hasil dan undang-undang jalan raya perlu ditegakkan. Sehingga malam tadi operasi penguatkuasaan dijalankan seperti biasa di Pulau Pinang," jelas beliau.
Shaharuddin turut menyatakan tiada rombakan besar-besaran akan dibuat di JPJ bahagian Pulau Pinang susulan kes berkenaan.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami