Skip to main content

Malaysia

Semua agensi kerajaan digerak, bantuan banjir di Sabah disegerakan - TPM

Di sebalik keberkatan bulan Ramadan ini, ada saudara-saudara kita yang sedang diuji dengan musibah banjir. Saya merakamkan rasa simpati yang mendalam kepada semua mangsa yang terjejas. Keselamatan rakyat adalah keutamaan Kerajaan Negeri. Semua agensi keselamatan dan jabatan berkaitan telah digerakkan bagi melaksanakan operasi pemindahan, penyelamatan serta penyaluran bantuan kepada penduduk di kawasan terjejas. FB Hajiji Haji Noor
Jumlah mangsa banjir di Sabah juga terus meningkat kepada 3,685 orang daripada 1,593 keluarga setakat 8 pagi ini. - Foto Facebook/Hajiji Haji Noor

KUALA LUMPUR: Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menyeru rakyat agar terus mendoakan kesejahteraan penduduk di Sabah yang kini berdepan ujian banjir ketika umat Islam menyambut Ramadan.

Beliau berkata sehubungan itu, semua agensi kerajaan Persekutuan dan negeri telah digerakkan secara menyeluruh bagi memastikan operasi pemindahan, penyelamatan serta penyaluran bantuan dilaksanakan dengan pantas, tersusun dan berkesan.

Advertisement

“Keutamaan kita adalah keselamatan rakyat, kebajikan mangsa serta pemulihan kawasan terjejas secepat mungkin... saya mengingatkan semua yang berada di kawasan terlibat agar sentiasa berwaspada dan mematuhi arahan pihak berkuasa,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.

Jumlah mangsa banjir di Sabah juga terus meningkat kepada 3,685 orang daripada 1,593 keluarga setakat 8 pagi ini berbanding 406 orang daripada 124 keluarga pada petang semalam.

Sekretariat Pengurusan Bencana Negeri Sabah dalam kenyataan memaklumkan sebanyak 18 pusat pemindahan sementara kini beroperasi di tiga daerah terjejas iaitu Kota Marudu, Pitas dan Paitan.

Sebanyak 47 kampung turut terjejas iaitu 30 di Pitas, 12 di Kota Marudu serta lima di Paitan selepas banjir melanda ketiga-tiga daerah sejak 6 pagi semalam susulan hujan berterusan beberapa hari lepas.

Jabatan Meteorologi Malaysia pula meramalkan beberapa kawasan di pedalaman Sabah dijangka mengalami hujan pada sebelah pagi manakala ribut petir berpotensi berlaku pada waktu petang dan malam.

-- BERNAMA

 

 

Must Watch Video