NATIONAL
Semua pelatih PLKN ikuti modul latihan sama - KP JLKN

Ya'cob bercakap kepada media pada Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) 3.0 Siri 2/2025 di Kem Rejimen 515 Askar Wataniah hari ini. - Foto Bernama
KUALA LUMPUR: Semua pelatih Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) 3.0 Siri 2/2025 yang bermula hari ini akan mengikuti modul latihan yang sama, meskipun mereka ditempatkan di dua kem berbeza mengikut jantina.
Ringkasan AI
- Pelatih PLKN 3.0 Siri 2/2025, ditempatkan di dua kem berbeza mengikut jantina, tetapi menjalani modul latihan yang sama dengan sedikit penyesuaian berdasarkan kemampuan fizikal dan kesihatan.
- Walaupun struktur latihan asas kekal, modul kali ini mengalami beberapa perubahan, termasuk lebih banyak latihan amali bagi memastikan keberkesanannya.
- Seramai 550 pelatih terlibat dalam sesi kali ini, termasuk 30 pelatih sukarela, dengan objektif utama memupuk semangat patriotisme, perpaduan nasional, dan ketahanan mental serta fizikal.
"Latihan fizikal juga akan dilaksanakan secara berperingkat mengikut tahap kesukaran dan kemampuan," katanya ketika ditemui pemberita selepas meninjau proses pendaftaran pelatih wanita di Kem 515 Askar Wataniah di sini hari ini.

Para pelatih wanita hadir pada sesi pendaftaran bagi mengikuti Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) 3.0 Siri 2/2025 di Kem Rejimen 515 Askar Wataniah hari ini. - Foto Bernama
Beliau berkata walaupun struktur asas modul latihan dikekalkan, beberapa penambahbaikan telah dilakukan berbanding modul yang digunakan oleh pelatih PLKN 3.0 Siri 1/2025.
"Modul latihan masih mengekalkan 70 peratus latihan asas ketenteraan dan 30 peratus komponen kenegaraan, namun terdapat sedikit penambahbaikan dari segi pelaksanaannya, khususnya dalam bentuk amali," katanya.
Mengulas mengenai proses pendaftaran hari ini, Ya'cob berkata seramai 550 pelatih, terdiri daripada 350 pelatih lelaki dan 200 pelatih wanita, dijangka menyertai PLKN kali ini yang berlangsung selama 45 hari bermula hari ini hingga 24 Jun.
Beliau menjelaskan bahawa proses pendaftaran dijangka mengambil masa dua hingga tiga hari memandangkan masih terdapat pelatih yang memohon mendaftar lewat atas sebab tertentu seperti lokasi kem dan belum bersedia.
Menurutnya, JLKN turut menerima pelatih yang mendaftar secara sukarela, bergantung kepada kekosongan, dan setakat ini seramai 30 pelatih sukarela telah mendaftar.
Sebelum ini, seramai 116 pelatih PLKN 3.0 Siri 1/2025 berjaya menamatkan latihan selama 45 hari yang bermula pada 12 Jan hingga 25 Feb lepas di Kem Rejimen 515 Askar Wataniah di sini.
PLKN 3.0 siri pertama yang dilaksanakan selepas tujuh tahun dimansuhkan itu melibatkan 73 pelatih lelaki dan 43 pelatih wanita berusia antara 18 hingga 25 tahun.
Pelaksanaan semula program ini secara berperingkat bertujuan memupuk semangat patriotisme, perpaduan nasional dan jati diri dalam kalangan belia Malaysia, selain membekalkan mereka dengan ketahanan fizikal dan mental dalam menghadapi cabaran hidup.
Sementara itu, Timbalan Ketua Pengarah JLKN Sektor Latihan Brigadier Jeneral Zainudin Bahari berkata jumlah pelatih yang melapor diri di Kem Rejimen 505 Askar Wataniah di Pekan, Pahang melebihi senarai pendaftaran dokumen lengkap yang diterima.
"Ikut senarai kita mempunyai 179 pelatih lelaki yang telah melengkapkan segala dokumen pendaftaran diterima tetapi kehadiran pelatih yang melaporkan diri melebihi jumlah iaitu 206 pelatih termasuk dari Sabah dan Sarawak.
"Walapun pendaftaran di kaunter utama telah ditutup kita masih memberi peluang kepada pelatih yang hadir lewat untuk mendaftar hingga 16 Mei ini sebelum 12 tengah hari," katanya kepada pemberita ketika meninjau hari pendaftaran PLKN di Kem Rejimen 505 Askar Wataniah di Pekan.
Beliau berkata kem berkenaan hanya menempatkan pelatih lelaki yang boleh memuatkan kapasiti 350 orang.
--BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami