KUALA LUMPUR: Semua pihak harus memainkan peranan dalam menyemak kesahihan fakta sesuatu berita yang dilaporkan agar ia tidak memberi kefahaman yang salah kepada masyarakat.

Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil ketika menggulung perbahasan usul Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia ke-12 (KSP RMK12) berkata penyebaran maklumat yang berlaku dengan pantas dan tidak diperiksa dengan teliti mampu menimbulkan tohmahan dan fitnah.

"Saya bagi contoh yang terkini ada pihak yang telah mendakwa kononnya Malaysia nak beli minyak sawit dari China, (perkara) ini masuk dalam X (Twitter) dan telah disebar.

" ... dan bila saya teliti sebenarnya ia timbul antara lain kerana ada berita daripada pihak media yang telah melaporkan dengan headline (tajuk) yang salah ... ," katanya menjawab celahan Mohd Sany Hamzan (PH-Hulu Langat) berhubung tindakan kerajaan dalam menangani masalah penyebaran berita palsu dalam kalangan masyarakat.

Perkara itu turut mendapat perhatian daripada Wong Shu Qi (PH-Kluang) yang menekankan agar kerajaan memberi tumpuan kepada warga emas berhubung pendidikan celik media kerana golongan itu mempunyai kecenderungan untuk terdedah dengan implikasi berita palsu.

Beliau berkata pihaknya juga mungkin akan membincangkan cadangan Rodziah Ismail (PH-Ampang) supaya adanya siaran semakan berita fitnah agar ia boleh dirujuk secara harian.

"Ada cadangan untuk tambah satu slot dalam berita RTM, Fitnah Apa Hari ini. Ini satu cadangan dan mungkin kita akan bincang nanti. Tapi memang betul kita perlu teliti perkara (fitnah) ini," katanya.

Fahmi berkata kerajaan turut mengulangi pendirian untuk bersikap terbuka terhadap kritikan dan kebebasan media di negara ini.

Menyentuh tentang Dasar Industri Kreatif Negara (DIKN), beliau berkata kerajaan bersetuju untuk melaksanakan kajian semula secara menyeluruh bagi menentukan hala tuju dan skop yang jelas di bawah industri kreatif.

"Memandangkan skop industri kreatif kini merentasi beberapa kementerian, jabatan dan agensi, kajian semula DIKN secara menyeluruh akan dilaksanakan oleh Kementerian Ekonomi," katanya.

Berhubung status sumbangan Starlink Internet Services Malaysia Sdn Bhd (Starlink Malaysia) kepada Kumpulan Wang Pemberi Perkhidmatan Sejagat, Fahmi berkata ia hanya boleh ditentukan selepas 30 Jun 2024.

-- BERNAMA