KUALA LUMPUR: Kerajaan akan mengemukakan senarai nama Ahli Jawatankuasa Pasukan Khas Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menyiasat buku tulisan Tan Sri Tommy Thomas,"My Story: Justice in the Wilderness" untuk mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong.

Menurut Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, butiran senarai nama itu akan dibawa oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said.

"Kabinet telah meluluskan penubuhan RCI namun asasnya dulu ada task force telah diwujudkan, namun Tommy Thomas telah ambil tindakan undang-undang kepada ahli task force itu.

"Maka asas kepada butiran yang terdapat dalam task force itu mungkin boleh dijadikan sandaran oleh ahli RCI yang baharu yang belum dilantik.

"Saya merasakan Azalina akan mengemukakan nama untuk dikemukakan kepada Kabinet bagi mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong untuk RCI ini menyegerakan tugas mereka," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas merasmikan Perhimpunan Agung ke-15 Parti Makkal Sakti Malaysia di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur pada Ahad.

Sebelum ini, Azalina berkata kerajaan telah menyatakan persetujuan penubuhan RCI bagi meneliti secara menyeluruh isu berkaitan integriti serta kebebasan kehakiman dan perundangan negara.

Buku tulisan bekas Peguam Negara itu diterbitkan pada Januari 2021 mengundang kritikan beberapa pihak, termasuk bekas Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun serta beberapa laporan polis dibuat mengenainya.

Antara lain, Thomas mendakwa dalam bukunya bahawa beliau mengadakan perbincangan bersama bekas perdana menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, ketika kedua-duanya dalam kerajaan, bagi pelantikan Ketua Hakim Negara, Presiden Mahkamah Rayuan dan Hakim Besar Sabah dan Sarawak.