KUALA LUMPUR: Tan Sri Wan Junaidi Tuanku Jaafar menyarankan menteri yang dilantik dalam kalangan senator berperanan menjadi juara terbaik dan menegakkan institusi senat Dewan Negara iaitu badan legislatif tertinggi negara.

Yang Dipertua Dewan Negara itu memetik perkara 43 (3) yang menyatakan Jemaah Menteri hendaklah bertanggungjawab secara bersama kepada Parlimen atas landasan ini dengan melaksanakan tanggungjawab terbaik kepada majlis Parlimen khususnya Dewan Negara.

"Saya bagi pihak Dewan Negara merakamkan setinggi-tinggi tahniah kepada kedua-dua Ahli Yang Berhormat Senator baharu dan mengalu-alukan pelantikan Yang Berhormat Senator Datuk Seri Amir Hamzah Azizan dan Yang Berhormat Senator Zulkifli bin Hasan yang merupakan lantikan daripada Yang di-Pertuan Agong berkuat kuasa mulai 12 Disember 2023 hingga 11 Disember 2026.

"Perkara 43(2) (b) yang termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan menyatakan bahawa atas nasihat Perdana Menteri, Yang di-Pertuan Agong hendaklah melantik menteri-menteri lain daripada kalangan ahli mana-mana satu Majlis Parlimen.

"Maka hal itu telah pun disempurnakan pada pagi ini bahawa untuk menjadi seorang menteri, beliau hendaklah daripada kalangan Ahli Dewan Negara atau Ahli Dewan Rakyat," katanya sejurus pelantikan dua senator terbabit di Parlimen, pada Selasa.

Terdahulu, Amir Hamzah dan Zulkifli mengangkat sumpah sebagai Ahli Dewan Negara di hadapan Wan Junaidi Tuanku Jaafar di Dewan Negara.

Jawatan terakhir disandang Amir Hamzah adalah Ketua Pegawai Eksekutif KWSP manakala Zulkifli merupakan bekas Dekan Fakulti Syariah dan Undang-Undang, USIM.