SHAH ALAM: Pemandu sengaja perlahankan lori yang membawa lebih muatan semasa diiring anggota Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Selangor ke lokasi timbang bagi melengahkan masa penguatkuasaan yang dilakukan.

Itu antara cabaran yang ditempuh pasukan operasi semasa Op Khas Lebih Muatan di beberapa lokasi panas di Lebuhraya Persekutuan, Saujana Putra, Lebuhraya Lembah Klang Baru (NKVE) dan Batu 9 Cheras pada Khamis.

Timbalan Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Selangor, Ahmad Kamarunzaman Mehat berkata, operasi dijalankan bermula kira-kira jam 12.15 tengah malam hingga jam 9 pagi itu diketuai Ketua Bahagian Penguatkuasa JPJ Selangor, Mazlini Yusof.

Menurutnya, lapan lori membawa muatan batu dan pasir melebihi had telah dikenakan tindakan di bawah Akta Pengangkutan Awam Darat (APAD) 2010.

"Selain itu, hasil pemeriksaan 25 buah lori sepanjang operasi ini turut bertindak mengeluarkan 36 saman atas pelbagai kesalahan lain iaitu tiada lesen memandu kompeten (CDL), CDL dan lesen kenderaan motor (LKM) tamat tempoh, tiada perlindungan insurans dan lain-lain," katanya kepada Sinar Harian pada Jumaat.

Mengulas mengenai alasan diberi pemandu kerana membawa muatan berlebihan, beliau berkata, pemandu mendakwa 'tauke' mereka akan selesaikan saman jika gagal patuhi notis arah timbang.

"Semasa operasi ini, lori lebih muatan ini sengaja dipandu perlahan ketika diiring anggota JPJ ke lokasi timbang.

"Mereka sengaja kerana mahu melengahkan masa anggota operasi menjalankan tugas," ujarnya.

Tambahnya, untuk sebarang aduan trafik, orang awam boleh menyalurkan kepada [email protected] atau platform aplikasi e-aduan@JPJ beserta butiran pengadu dan butiran aduan. - SInar Harian