KUALA LUMPUR: Adakah 'senjata rahsia' Harimau Malaya yang kini dalam persiapan akhir menghadapi kempen pusingan kedua kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 di Dubai, Emiriah Arab Bersatu (UAE), tiba hari ini?

Lebih menarik, debaran peminat bola sepak tanah air pastinya kian terasa selepas Presiden Bola Sepak Malaysia (FAM) Datuk Hamidin Mohd Amin memberi isyarat bahawa Harimau Malaya bakal menerima pemain ke-26 bagi memperkuat cabaran skuad kebangsaan dalam misi penting di UAE bulan depan.

"Sekarang 8 pagi di Dubai, nantikan ketibaan pemain ke-26 Harimau Malaya," katanya dalam klip video berdurasi 19 saat yang dimuat naik di laman Facebook dan YouTube FAM hari ini.

Sebelum ini, cakap-cakap mengenai kemasukan pemain berdarah kacukan Belgium-Malaysia, Dion Cools yang pernah beraksi dalam saingan Liga Juara-juara Eropah bersama FC Midtylland ke dalam skuad kendalian Tan Cheng Hoe itu sudah berlegar dalam kalangan peminat sejak minggu lepas.


Ini berikutan kenyataan yang dimuat naik di laman sesawang kelab Denmark tersebut menyatakan pemain berusia 24 tahun itu mendapat panggilan pertama untuk menyertai pasukan kebangsaan Malaysia.

Sejurus perkara itu tular di media sosial, FC Midtylland memadamkan nama pemain berkenaan dan menukarkan senarai 16 pemain pasukan tersebut yang menerima panggilan pasukan kebangsaan masing-masing kepada 15 nama sahaja.

FAM sebelum ini pernah cuba membawa pemain yang beraksi di posisi pertahanan kanan berkenaan untuk beraksi bersama skuad Harimau Malaya, namun Cools dikatakan tidak bersedia ketika itu kerana mahu terlebih dahulu memfokuskan kariernya di Eropah.

Cools, yang mana bapanya warga Belgium dan ibunya rakyat Malaysia, masih layak beraksi untuk Malaysia di peringkat senior.

Lahir di Kuching, Sarawak, pemain berketinggian 1.85 m itu telah diturunkan sebanyak 32 kali oleh FC Midtylland sepanjang musim 2019/20 dan 2020/21, termasuk tiga kali dalam saingan Liga Juara-juara Eropah.

Beliau menampilkan prestasi yang memberangsangkan apabila berdepan pemain Liverpool FC seperti Mohamed Salah, Roberto Firmino dan Diogo Jota dalam aksi Kumpulan D Liga Juara-juara Eropah musim ini.

Cools yang dilaporkan turut boleh beraksi di posisi pertahanan tengah dan kiri, boleh memberikan cabaran sengit kepada pemain negara Matthew Davies, Syahmi Safari dan Mohd Rizal Ghazali di posisi pertahanan kanan.

Skuad 25 pemain Malaysia dijadual meneruskan misi di Dubai berdepan tuan rumah UAE pada 3 Jun, Vietnam (11 Jun) dan Thailand pada 15 Jun pada pusingan kelayakan tersebut.

-- BERNAMA