Seorang dikhuatiri maut manakala tiga lagi cedera dalam kebakaran di sebuah kedai motosikal di Jalan Sentul di sini malam tadi.

Tiga lelaki berkenaan dikenal pasti sebagai pemilik kedai motosikal itu, seorang pekerjanya dan pembekal alat ganti motosikal yang masing-masing dihantar ke hospital berdekatan bagi mendapatkan rawatan.

Isteri pemilik kedai motosikal itu bagaimanapun belum ditemui dan dikhuatiri maut di dalam kedai berkenaan.

Menurut seorang pekerja kedai motosikal itu yang mahu dikenali sebagai Iskandar, 28, sebelum kejadian kira-kira 8.30 malam, majikannya iaitu suami isteri berkenaan bertengkar dengan seorang pembekal barangan alat ganti motosikal.

"Lelaki itu memasuki kedai dan bergaduh bersama tauke saya sebelum keluar dari tempat ini. Tidak lama kemudian, lelaki itu memasuki kedai ini semula dan saya terdengar bunyi letupan sebelum berlaku kebakaran beberapa minit selepas itu," katanya kepada pemberita di lokasi kejadian.

Iskandar yang merupakan orang kurang upaya kerana kaki kanannya kudung keluar menyelamatkan diri selepas melihat kebakaran berkenaan.

Tinjauan Bernama di lokasi kejadian mendapati pasukan Jabatan Bomba dan Penyelamat bersama Polis Diraja Malaysia dan pasukan medik masih giat menjalankan kerja mencari dan menyelamat mangsa yang hilang.

Sementara itu, jurucakap Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur berkata seramai 34 anggota bersama enam jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Sentul, Titiwangsa dan Hang Tuah dikerahkan ke lokasi kejadian sebaik menerima panggilan mengenai kejadian pada 8.42 malam.

"Setibanya pasukan bomba di lokasi kejadian didapati berlaku kebakaran melibatkan sebuah bangunan rumah kedai tiga tingkat dan terdapat mangsa cedera," katanya.

-- BERNAMA