Skip to main content

Hiburan

"Tiada ibu yang bersedia kehilangan anak, namun saya harus reda ketentuan Allah" - Uji Rashid

Pemergian Allahyarham Cico bukan sekadar kehilangan seorang anak buat Uji, malah meninggalkan kekosongan yang sukar diungkap dengan kata-kata.
Pemergian Allahyarham Cico bukan sekadar kehilangan seorang anak buat Uji, malah meninggalkan kekosongan yang sukar diungkap dengan kata-kata.
Advertisement

HULU KLANG: Tiada ibu yang pernah bersedia untuk mengucapkan selamat tinggal kepada anaknya sendiri.

Namun itulah hakikat yang terpaksa diterima artis legenda tanah air, Uji Rashid, 73, apabila anak kesayangannya, Allahyarham Cico Harahap menghembuskan nafas terakhir pada Ahad, selepas bertarung dengan penyakit.

Di sebalik ketenangan yang cuba dizahirkan ketika mengiringi perjalanan terakhir anaknya ke pusara, tersimpan kesedihan mendalam seorang ibu yang kini perlu meneruskan kehidupan tanpa insan yang menjadi sebahagian besar daripada dunianya selama 48 tahun.

Advertisement

Pemergian Allahyarham bukan sekadar kehilangan seorang anak buat Uji, malah meninggalkan kekosongan yang sukar diungkap dengan kata-kata. 

Pada usia senja, penyanyi yang pernah mewarnai industri muzik tanah air itu mengakui masih bergelut menerima hakikat bahawa anak yang ditatang sejak kecil kini telah kembali ke rahmatullah.

Advertisement

"Masih sukar untuk saya menerima hakikat pemergiannya," katanya selepas selesai pengebumian jenazah Allahyarham di Tanah Perkuburan Islam Ukay Perdana, di sini, semalam.

Dalam nada penuh sebak, Uji atau nama sebenarnya Fuziah Haroun Al Rashid berkata, beliau cuba menguatkan hati dengan mengingatkan diri bahawa setiap insan yang hadir dalam kehidupan hanyalah pinjaman daripada Allah SWT.

Katanya, keluarga dan sahabat terdekat banyak memberikan kata-kata semangat agar beliau terus tabah menghadapi ujian yang amat berat itu.

"Dia juga pinjaman daripada Allah. Saya cuba ingatkan diri mengenai ketentuan itu dan berharap semoga Allah mengampunkan segala dosa, melindungi serta menempatkannya di tempat terbaik.

"Ada saudara-mara dan rakan yang mengingatkan saya supaya reda dengan ketentuan Tuhan," katanya.

Dalam pada itu, Uji berharap orang ramai terus menghadiahkan doa yang baik buat anaknya dan menghentikan sebarang spekulasi atau andaian yang pernah dikaitkan dengan Allahyarham sebelum ini.

"Saya berharap semua orang dapat mendoakan yang baik-baik buatnya dan tidak lagi membuat pelbagai andaian seperti sebelum ini, kononnya dia begini dan begitu.

"Saya tidak mahu perkara seperti itu berulang. Kita semua juga akan pergi suatu hari nanti. Apabila tiba masa saya pula, saya juga berharap orang ramai mendoakan yang baik-baik buat saya," katanya.

Mengimbas kembali keadaan kesihatan Cico sebelum menghembuskan nafas terakhir, Uji berkata, anaknya itu menunjukkan perkembangan yang positif dalam tempoh kebelakangan ini.

Bagaimanapun, keadaan berubah sejak seminggu lalu apabila Allahyarham mengalami pening yang teruk sehingga meminta dibawa ke hospital untuk mendapatkan rawatan lanjut.

"Ada satu tempoh sebelum ini ketika penyakitnya agak serius. Namun sejak kebelakangan ini keadaannya semakin baik.

"Bagaimanapun, sejak seminggu lalu dia mula mengalami pening yang sangat teruk sehingga tidak mampu bertahan. Dia kemudian memberitahu saya mahu mendapatkan rawatan di hospital.

"Dia dimasukkan ke unit rawatan rapi (ICU) selama tiga hari berikutan terdapat banyak jangkitan sebelum dipindahkan ke wad biasa," katanya.

Sementara itu, anak Allahyarham, Rindu Nur Fitrah, 18, turut berkongsi detik terakhir bersama bapanya yang kini menjadi kenangan yang akan terpahat sepanjang hayat.

Menurutnya, sehari sebelum bapanya meninggal dunia, mereka sempat bersalaman sebelum dia keluar bekerja.

"Semalam, sebelum saya pergi kerja, Papa pegang tangan saya. Ketika itu memang saya dapat rasakan keadaan Papa seperti sudah tidak lama.

"Bagaimanapun, saya cuba untuk tidak terlalu memikirkannya," katanya menahan sebak.

Rindu berkata, bapanya tidak sempat meninggalkan sebarang pesanan terakhir kerana keadaan kesihatan ketika itu sudah terlalu lemah untuk bercakap.

"Dia tidak cakap apa-apa kerana ketika itu memang sudah tidak mampu bercakap. Dia terlalu sakit.

"Saya harap semua orang dapat mendoakan Papa. Semoga Papa ditempatkan dalam kalangan penghuni syurga, tenang di sana dan diampunkan segala dosanya," katanya.

Jenazah Allahyarham Cico atau nama sebenarnya Ezzaq Farrouq Harahap Jamaludin dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Ukay Perdana kira-kira jam 6.15 petang semalam.

Namun, ketika semua yang hadir meninggalkan tanah perkuburan petang itu, kepiluan paling berat pastinya dirasai seorang ibu yang terpaksa merelakan pemergian anak tersayang buat selama-lamanya. 

Selepas 48 tahun mencurahkan kasih sayang dan pengorbanan, Uji kini hanya mampu mengiringi Cico dengan doa, menyerahkan segala kerinduan kepada Yang Maha Esa dan belajar menerima bahawa ada perpisahan yang tidak pernah bersedia untuk dihadapi, walau sekuat mana hati seorang ibu.

Must Watch Video

Advertisement