Polis Diraja Malaysia (PDRM) menjalankan 459 pemeriksaan terhadap individu yang sedang menjalankan kuarantin wajib 14 hari di kediaman masing-masing, pada Sabtu.

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, ketika pemeriksaan dilakukan, seorang individu diambil tindakan kerana gagal mematuhi prosedur operasi standard (SOP) kuarantin yang ditetapkan kerajaan.

"PDRM bersama petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan sentiasa membuat pemeriksaan dan pemantauan terhadap individu-individu tebabit bagi memastikan SOP dipatuhi," katanya dalam kenyataan media di sini, pada Ahad.

Dalam pada itu, Ismail Sabri menambah, sejak 24 Julai sehingga 22 Ogos 2020 (semalam), seramai 15,866 individu telah pulang ke tanah air melalui pintu masuk sempadan antarabangsa dan telah ditempatkan di 67 hotel dan lima Institut Latihan Awam (ILA) di Kuala Lumpur, Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Johor, Sarawak, Kelantan, Perak, Kedah, Perlis, Terengganu dan Labuan.

"Daripada jumlah itu, seramai 7,740 individu sedang menjalani proses kuarantin wajib manakala 43 individu telah dihantar ke hospital untuk rawatan.

"Seramai 8,083 individu telah dibenarkan pulang," ujarnya.

Menurutnya, mereka pulang dari 32 negara, iaitu Filipina, Thailand, Indonesia, Kemboja, Singapura, Vietnam, Brunei, Qatar, Pakistan, Arab Saudi, Hong Kong, India, UAE, Jepun, Turki, Korea Selatan, Iran, Nepal, Bangladesh, Myanmar, Timor Leste, Taiwan, China, United Kingdom, Belanda, Papua New Guinea, Mesir, Sepanyol, Perancis, Australia, New Zealand dan Amerika Syarikat.

Sementara itu, Ismail Sabri memberitahu, penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) telah melakukan pemantauan harian ke atas 12 jenis bekalan barangan di 704 premis perniagaan termasuk peruncit (500 premis), pemborong (173 premis) dan pengilang (31 premis), pada Sabtu.

"Secara keseluruhan bekalan barangan keperluan mencukupi dan mampu menampung keperluan dalam negara yang berterusan dan mudah diperolehi," jelasnya.

Katanya, pegawai penguat kuasa KPDNEHP juga telah melakukan 1,302 pemeriksaan khas Pematuhan SOP Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) dan mendapati 1,288 premis mematuhi SOP yang ditetapkan manakala 14 premis diberi nasihat kerana gagal patuh SOP.

"Dalam tempoh PKPP ini, kerajaan ingin menggesa pengusaha dan orang ramai supaya sentiasa mengamalkan kawalan kendiri termasuk penjarakan fizikal dan kebersihan diri terutamanya dalam aktiviti jual beli barangan keperluan harian," tambahnya.