Mayat seorang lelaki ditemui dalam keadaan mengerikan apabila hanya separuh anggota badannya ditemui terapung di dalam laut manakala sebahagiannya lagi hilang.

Mayat lelaki yang dikenali sebagai Moneymaran a/l Suppiah, 50 tahun, dari Ayer Itam, Pulau Pinang hanya ditemui dari paras pinggang hingga ke pergelangan betis dan telah mereput dipercayai berada di dalam air lebih seminggu lalu.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, ACP Mior Faridalathrash Wahid berkata, mayat ditemui oleh orang awam yang sedang memancing di Ocean View, Sungai Pinang, George Town, kira-kira jam 8.30 malam pada Khamis.

Saksi yang terkejut dengan penemuan anggota badan berkenaan meminta bantuan rakan untuk menarik anggota badan tersebut ke tepi pantai sebelum menghubungi polis.

Katanya, ketika ditemui, pergelangan kaki mayat termasuk seluar jeans yang dipakainya telah mereput dan hanya tinggal tulang manakala kad pengenalan yang dipercayai milik mangsa ditemui di dalam poket seluarnya.

Anggota badan mangsa yang ditemui itu kemudiannya dihantar ke Hospital Pulau Pinang untuk bedah siasat.

Polis mengklasifikasikan kes sebagai mati mengejut terlebih dahulu sehingga laporan bedah siasat diperolehi manakala waris mangsa juga akan dikesan bagi membantu siasatan.

Berdasarkan semakan rekod jenayah mendapati penama mempunyai lapan rekod kesalahan lampau iaitu lima kes dadah, satu kes bunuh dibawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan serta beberapa kesalahan lain.