ALOR SETAR: Polis menahan sepasang suami isteri dan merampas hampir 20 kilogram (kg) ganja bernilai RM50,000 ketika serbuan di kawasan letak kenderaan di sebuah premis dekat Kuala Kedah, pada Ahad lalu.

Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Ahmad Shukri Mat Akhir berkata, serbuan dilakukan sepasukan pegawai dan anggota dari Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah sekitar pukul 10.30 malam.

Pasangan berkenaan berusia 29 dan 33 tahun.

Beliau berkata, pasangan terbabit ditahan ketika berada di dalam sebuah kenderaan Proton Saga berwarna merah ketika sedang menunggu pelanggan.

“Setelah membuat pemeriksaan, (polis) telah menjumpai di bahagian tempat duduk penumpang di bahagian belakang dua beg jenis kanvas dan di dalamnya berisi 20 beg plastik lutsinar dan semuanya berisi ketulan mampat dipercayai tumbuhan jenis kering disyaki dadah jenis ganja,” kata Ahmad Shukri.

Beliau berkata demikian dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Setar, hari ini.

Ahmad Shukri berkata, hasil siasatan mendapati, dadah itu diperoleh dari negeri di selatan tanah air untuk dipasarkan di sekitar daerah Kota Setar.

Katanya, bekalan ganja itu mampu digunakan untuk 20,000 penagih.

Beliau berkata, hasil semakan rekod mendapati, lelaki itu mempunyai satu rekod jenayah lampau berkaitan dadah manakala isterinya tidak mempunyai rekod jenayah.

Menurut Ahmad Shukri, jumlah dadah yang dirampas bernilai RM50,000 termasuk wang tunai sebanyak RM4,430.

Kes disiasat mengikut mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.

Pasangan itu direman selama tujuh hari sehingga 11 September ini untuk siasatan lanjut.