Skip to main content

Malaysia

Sepupu Ketua Srikandi Muda Bersatu antara tiga maut dalam nahas 15 kenderaan di Ipoh

IPOH - Sepupu kepada Ketua Srikandi Muda Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Nurul Ezzati Azmi antara remaja yang maut dalam kemalangan membabitkan 15 kenderaan di Jalan Jelapang-Ampang di sini awal pagi Sabtu.
Nolee Ashilin berkata tragedi itu amat menyedihkan apabila beberapa anak muda kehilangan nyawa manakala beberapa lagi mangsa masih menerima rawatan. -Gambar fail/Sinar Harian
Advertisement

IPOH: Sepupu kepada Ketua Srikandi Muda Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Nurul Ezzati Azmi, merupakan antara tiga mangsa yang maut dalam kemalangan membabitkan 12 motosikal dan tiga kereta di Jalan Jelapang-Ampang, di sini, awal pagi Sabtu.

Mangsa dikenali sebagai Muhammad Faiz Danial Jumri, 20.

Ketua Srikandi Bersatu Malaysia, Datuk Nolee Ashilin Mohammed Radzi, berkata tragedi itu amat menyedihkan apabila beberapa anak muda kehilangan nyawa manakala beberapa lagi mangsa masih menerima rawatan.

Menurutnya, seluruh kepimpinan dan keluarga besar Srikandi Bersatu Malaysia merakamkan ucapan takziah kepada Nurul Ezzati serta semua keluarga mangsa yang kehilangan insan tersayang dalam kejadian tersebut.

"Lebih menyentuh hati kami, salah seorang yang pergi merupakan sepupu kepada Ketua Srikandi Muda Bersatu Malaysia.

"Saya mewakili seluruh kepimpinan dan keluarga besar Srikandi Bersatu Malaysia merakamkan salam takziah yang sedalam-dalamnya kepada beliau dan keluarga, serta kepada semua keluarga yang kehilangan insan tersayang dalam tragedi ini," katanya menerusi hantaran di Facebook pada Sabtu.

Beliau turut mendoakan agar Allah SWT mengampunkan dosa mangsa, merahmati roh mereka dan menempatkan mereka dalam kalangan orang beriman serta beramal soleh.

Katanya, doa turut dipanjatkan buat mangsa yang sedang menerima rawatan agar diberikan kesembuhan dan dipermudahkan segala urusan.

Media sebelum ini melaporkan tiga lelaki maut manakala sembilan lagi cedera dalam kemalangan membabitkan 12 motosikal dan tiga kereta di Jalan Jelapang-Ampang kira-kira jam 3.35 pagi Sabtu.

Dua mangsa berusia 19 dan 20 tahun disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian, manakala seorang lagi mangsa lelaki berusia 19 tahun yang menerima rawatan kemudian disahkan meninggal dunia di Zon Merah, Jabatan Kecemasan dan Trauma Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB).

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Muhammad Najib Hamzah, berkata pihaknya menerima maklumat mengenai kejadian itu daripada orang awam sebelum anggota polis dikerahkan ke lokasi.

Siasatan awal mendapati semua kenderaan terbabit bergerak dari arah Meru Raya menuju ke Tambun sebelum terlibat dalam kemalangan.

Siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian.

Must Watch Video

Advertisement