Bahagian Counter Terrorism, Cawangan Khas Bukit Aman memaklumkan sejumlah 11 rakyat negara ini yang menyertai militan Negara Islam (IS) di Syria telah terbunuh termasuk enam daripadanya menjadi pengebom berani mati.

Menurut Ketua Penolong Pengarah Bahagian Counter Terrorism cawangan tersebut, SAC Datuk Ayub Khan Mydin Pitchay, mereka yang terbunuh itu sudah dikenal pasti.

Katanya hasil risikan mendapati sudah 11 yang maut termasuk enam yang menjadi pengebom yang melakukan pengeboman di Syria dan juga Iraq.

“Yang 11 orang itu berdasarkan yang kita sudah sahkan tetapi kita tidak dapat bawa balik jenazah sebab mereka berada di Syria. Sesetengahnya terlibat dalam pengeboman.

“Setakat yang kita tahu, semua yang terlibat adalah lelaki, tiada perempuan,” kata Ayub.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis Multaqa Iman guru takmir, KAFA dan jawatankuasa masjid mukim negeri Kelantan di sini siang tadi.

Kesemua yang terbunuh itu merupakan rakyat Malaysia dari beberapa negeri.

Sebelum ini, pihaknya memaklumkan sejumlah hampir 80 rakyat Malaysia menyertai militan IS dan kini berada di Syria.

Ada antara mereka yang cuba untuk pulang ke Malaysia berdasarkan risikan dan menerusi maklumat keluarga mereka di sini.