SEPANG:Laporan bedah siasat ke atas seorang jurutera tapak yang ditemukan rentung hampir 90 peratus, dalam sebuah kereta di Jalan Airport City 2, Airport City Business Centre, Sepang mendapati mangsa mati akibat serangan menggunakan objek tajam.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Datuk Fadzil Ahmat berkata, menurut laporan itu mangsa dikesan mempunyai kesan luka hirisan yang parah ekoran daripada serangan itu.

"Punca kematian adalah disebabkan kesan serangan dan bukan disebabkan kebakaran," katanya dalam kenyataan di sini pada Jumaat.


Fadzil berkata, bedah siasat yang dilakukan di Hospital Serdang pada Khamis, bermula pukul 10.15 pagi hanya selesai kira-kira 4 petang.

Dalam pada itu beliau berkata, polis mendapat perintah tahanan reman selama tujuh hari sehingga 5 November depan ke atas dua kontraktor, berusia 37 tahun dan 42 tahun, dipercayai rakan kepada mangsa.

Mengulas lanjut, Fadzil memberitahu, kedua-dua suspek itu ditahan bagi membolehkan siasatan Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh, dijalankan.

Ketika ditanya sama ada kemungkinan pembunuhan itu bermotifkan cemburu bagi mendapatkan projek, Fadzil berkata, polis masih menjalankan siasatan.

Beliau memberitahu, polis masih menunggu laporan ujian asid deoksiribonukleik (DNA) keluarga bagi mendapatkan pengesahan sebenar memandangkan keadaan mayat yang hangus.

"Namun demikian, jika mengikut pendaftaran kereta yg terbakar pemilik berumur 42 Tahun dan bekerja sebagai jurutera tapak," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Pada Rabu lalu, seorang lelaki ditemukan rentung di dalam sebuah kereta SUV jenis Harrier.

Mayat mangsa yang rentung hampir 90 peratus di bahagian pemandu dipadamkan pasukan bomba Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Difahamkan pasukan bomba terpaksa mengambil sedikit masa untuk mengeluarkan mayat daripada kereta kerana mayat itu melekat dengan cairan kereta.

Dalam pada itu, polis turut menemui kesan kebakaran dalam lingkungan 10 meter daripada kereta yang rentung itu.