LABUAN: Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) menggarap idea inovasi teknologi daripada pakar dalaman sendiri untuk meningkatkan kapasiti penjanaan Grid Sabah yang masih berada pada tahap kritikal.

Ketua Pegawai Eksekutif SESB, Ir Mohd Yaakob Jaafar berkata, berbekalkan pengalaman dan kepakaran sedia ada, kerja-kerja pengubahsuaian pemutus litar berkeupayaan 132 kilovoltan (kV) kepada 11kV berjaya dilaksanakan.

"Ini adalah merupakan usaha berterusan daripada SESB untuk mempertingkatkan bekalan tenaga elektrik ke Grid Sabah," katanya dalam kenyataan baru-baru ini.

Beliau berkata, idea inovasi itu merupakan kali pertama dilaksanakan ke atas stesen janakuasa dan seterusnya membolehkan Stesen Janakuasa Patau-Patau meningkatkan kapasiti penjanaan elektrik lebih awal daripada yang dijadualkan iaitu pada Disember 2024.

SESB, katanya, kini dalam proses akhir untuk mengoperasikan semula Tarbin Gas GT2 dan GT3 di stesen itu yang tidak dapat beroperasi sejak tahun lepas.

"Pengoperasian semula Stesen Janakuasa Patau-Patau ini akan dapat menjana kapasiti tenaga elektrik tambahan sebanyak 60 megawatt setiap hari ke dalam Grid Sabah," katanya. - BERNAMA