Sesi penjawat awam berkongsi pandangan mengenai gagasan Transformasi Nasional 2050 (TN50) akan diadakan pada 30 Mei ini, kata Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Dr Ali Hamsa.

Beliau berkata sesi Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak bersama penjawat awam di Kementerian Kewangan itu bertujuan mendapatkan pandangan dan berinteraksi dengan para penjawat awam dalam membentuk sektor perkhidmatan awam negara menjelang 2050.

"Penjawat awam perlu bersama-sama berpandangan jauh, tidak leka atau khusyuk dengan pencapaian masa kini," kata Ali pada majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) Jabatan Perdana Menteri (JPM) 2016 di sini hari ini.

Dalam pada itu, Ali berkata Malaysia merupakan antara negara yang terbaik di dunia dalam memberikan insentif dan kemudahan kepada anggota perkhidmatan awam.

Setiap tahun, katanya, kerajaan berusaha menambah baik skim perkhidmatan awam dari segi emolumen dan insentif perkhidmatan seperti cuti belajar untuk kumpulan pelaksana, peluang kenaikan pangkat secara ''fast-track'' dan mengikut tempoh perkhidmatan, kesetaraan gaji, pelantikan tetap pekerja kontrak dan perumahan mampu milik khusus untuk penjawat awam.

"Justeru, penjawat awam tidak boleh melengahkan penyampaian perkhidmatan kepada rakyat selain tertakluk kepada prinsip setia kepada kerajaan yang memerintah,"katanya.

Ali berkata penjawat awam khususnya warga JPM perlu lebih kerap turun padang dan amalkan kaedah ''search and serve'' (mencari dan membantu) iaitu dengan menawarkan perkhidmatan kepada rakyat.

Seramai 1,070 warga dari 79 agensi di bawah JPM menerima APC 2016.

-- BERNAMA