"Sayu hati melihat masih ramai gelandangan di ibu kota ini, masih banyak yang perlu bantuan, masih ramai yang tiada tempat perlindungan dan tidak tahu bila masa makan yang seterusnya."

Itu kata Pengerusi Briged Kesatria Muda Pergerakan Pemuda UMNO, Armand Azha Abu Hanifah yang mahu nasib golongan ini segera terbela.

"Ini adalah kali keempat Program Kami Prihatin yang dilaksanakan Briged Kesatria Muda Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia dan Kelab Suara Anak Muda 1Malaysia.

"Kali ini, Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob selain beberapa exco Pemuda UMNO lain turut sama menjayakan program ini.

"Bermula seawal 11.30 malam bertempat di Jalan Raja Laut, kami memberikan bantuan makanan, minuman, ubatan dan alat pembersih diri kepada gelandangan di kawasan sekitar," katanya kepada Astro AWANI di sini hari ini.

Ismail turut hadir semasa program bantuan kepada gelandangan sekitar ibu kota - Sumber gambar Armand

BACA: Najib umum pembinaan rumah gelandangan di ibu kota

Sebelum ini, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan pembinaan rumah gelandangan di Medan Tuanku dan Jalan Pekeliling di sini akan siap tidak lama lagi.

Projek Kerajaan dengan kerjasama pihak swasta itu akan memberi manfaat kepada penduduk di ibu kota yang kurang bernasib baik.

Menurut Najib, projek bernilai RM17 juta itu akan menambah baik keselesaan golongan gelandangan di Kuala Lumpur sendiri.

Dalam pada itu kata Armand, kumpulan mereka berjalan daripada Jalan Raja Laut sehingga je Jalan Masjid India dan diakhiri di Menara Maybank Jalan Pudu pada jam kira-kita jam 2 pagi.

"Walaupun ia hanya bantuan kecil, sesuap nasi untuk mereka, namun cukup beerti dan menginsafkan.

"Jutaan terima kasih kepada Ismail yang bersama-sama berjalan kaki sejak awal hingga tamat program.

"Sebanyak lebih 700 bungkus makanan diedar semalam selain kehadiran sukarelawan melebihi 78 orang," ujarnya.

TONTON: 'Kindness' beri tumpuan bantu gelandangan

Sebelum ini, di Alor Setar, kemuliaan Ramadan mencetus idea kepada sekumpulan anak muda dikenali sebagai ‘Kindness’ membantu gelandangan yang disisih masyarakat.

Mereka menyusuri lorong-lorong sunyi, lokasi gelandangan tumpang berteduh di bandar itu untuk mengagihkan sajian bersahur.