IPOH: Kementerian Pendidikan (KPM) akan meneliti laporan daripada Lembaga Peperiksaan Malaysia, sebelum sebarang tindakan diambil susulan dakwaan penggunaan set soalan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2021 yang sama, untuk sesi kedua peperiksaan yang bermula pada Khamis.

Timbalan Menteri Pendidikan I Datuk Dr Mah Hang Soon berkata mana-mana pihak yang berkaitan juga, diharap tidak melakukan sebarang spekulasi bagi memastikan perkara tersebut dapat diselesaikan dengan baik.

"Saya sendiri pun baru terima maklumat tersebut, dan saya fikir apa pun (andaian) kita perlu tunggu laporan daripada lembaga peperiksaan. Selepas itu kita akan buat perbincangan sebelum tindakan susulan yang berpatutan diambil," katanya selepas perjumpaan bersama ahli-ahli Dewan Perniagaan dan Perindustrian Cina Perak (PCCCI) di sini, hari ini.

Semalam, melalui laporan media beberapa pihak menggesa supaya KPM dan Lembaga Peperiksaan, menjawab tuduhan berkaitan soalan peperiksaan Bahasa Melayu (Ujian Mendengar) sesi kedua sama seperti mana sesi pertama SPM yang sudah dikongsi secara meluas.

Sesi kedua SPM khusus itu adalah untuk pelajar yang tidak dapat mengambil peperiksaan baru-baru ini ekoran COVID-19, banjir serta mereka yang diberi pengecualian khas oleh Pengarah Peperiksaan.

Dalam perkembangan lain, Mah berkata, sebanyak 4,932 kekosongan jawatan guru di bawah pengambilan khas secara 'one off' akan diselesaikan dalam masa terdekat, selain tertakluk di bawah bidang kuasa Suruhanjaya Perkhidmatan Pelajaran (SPP).

"Perkara ini telah banyak kali dibincangkan. Ia sebenarnya ada satu proses yang berterusan. Sebenarnya ia di bawah kendalian dan perlu melalui (tanggungjawab) SPP. Apa pun proses ini masih berjalan dan akan dimaklumkan daripada semasa ke semasa," katanya.

Beliau berkata, meskipun mengakui terdapat rungutan daripada pelbagai pihak berhubung kelewatan lantikan bagi kekosongan jawatan berkenaan, namun ia perlu diperhalusi berpandu kepada prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan SPP.

"Saya sendiri telah mengadakan perbincangan dengan SPP bertanyakan perkara yang sama (lewat). Apa yang diberitahu, mereka ada SOP yang tersendiri dan ia memerlukan sedikit masa," katanya.

Selain itu, katanya, beliau juga tidak menolak kemungkinan kuota kekosongan berkenaan akan diisi oleh rata-rata calon yang tidak mempunyai kontrak perkhidmatan (COS) ikhtisas pendidikan.

Pada 29 Mac lalu, Menteri Pendidikan Datuk Dr Radzi Jidin menjelaskan setakat ini seramai 13,770 daripada 18,702 kekosongan bagi jawatan guru di bawah pengambilan khas secara 'one off' telah diisi di seluruh negara.

Radzi berkata hanya terdapat 4,932 baki kekosongan jawatan di bawah pengambilan khas ini yang perlu diisi oleh calon-calon yang berkelayakan.

-- BERNAMA