Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini menegaskan Malaysia kekal komited dalam memberi kerjasama penuh pada siasatan tragedi malang MH17.

Ia demi mencari kebenaran dan keadilan khususnya kepada ahli keluarga, rakan taulan penumpang dan anak kapal penerbangan itu.

"Kepada keluarga tragedi MH17, usahlah berasa bimbang kerana selagi jawapan belum ketemu, selagi itulah kita tidak berhenti mencari kebenaran.

"Sesukar dan sepayah mana pun keadilan yang dituntut pasti akan kita kembalikan kepada keluarga dan rakan taulan mangsa," jamin Perdana Menteri dalam ucapannya di hadapan lebih 1,000 orang di Kompleks Bunga Raya, KLIA di sini hari ini.


Najib meminta agar semua rakyat terus memperkukuh solidariti dan semangat perpaduan dalam mengenang tragedi menyayat hati yang berlaku setahun lalu.

"Maka itu, tidak kira apa latar belakang, politik dan agama, kita sewajibnya bersatu hati sebagai satu negara dalam hal ini.

"Sesungguhnya, tiada kata-kata dapat melakarkan kesedihan dan kepiluan ahli keluarga dan sahabat handai mangsa MH17 yang terkorban dalam nahas ini," katanya lagi.

Beliau pada masa sama mengulangi jaminan untuk membawa pihak bertanggungjawab ke muka pengadilan.

Ujarnya, mekanisme pendakwaan kini sedang dalam pertimbangan.

"Walau bagaimanapun, kita tidak menuding jari pada mana-mana pihak sehingga bukti sahih dapat disahkan.

"Namun kita dari awal mengutuk sekeras-kerasnya tindakan tidak berhati perut, tindakan tidak bertamadun, tindakan ganas dan tindakan lagi tidak bertanggungjawab itu dan kita juga akan memastikan pihak tidak bertanggungjawab itu menerima hukuman yang setimpal," katanya lagi.