KUALA LUMPUR: Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) telah memberi kesan yang pelbagai dan berbeza kepada segenap lapisan warga dunia.

Ada yang berdepan masalah dari aspek tanggungan kewangan, ada yang resah tentang prospek kerjaya, dan ada yang bimbang tentang ketidaktentuan masa depan. Di sebalik semua itu, ramai juga yang berperang dengan emosi lantaran berjauhan dengan orang yang disayangi.

Ini termasuklah bagi mereka yang bergelar pasangan jarak jauh, sama ada yang tidak dapat bertemu kerana larangan merentas batas negeri mahupun yang lebih mencabar, terpisah antara sempadan negara.

Hakikat itulah antara yang perlu dihadapi selebriti dan pelakon, Tengku Iedildzuhrie Putra Tengku Alaudin atau Iedil Putra, dan isterinya, aktres Indonesia, Prisia Nasution.

Iedil yang kini berada di Kuala Lumpur mengakui, penularan COVID-19 telah meninggalkan kesan emosi mendalam kepada mereka, walaupun telah menjalin cinta secara jarak jauh sejak 2015 lagi.

Instagram @iedilputra

"Dia (Prisia) di Jakarta, sementara saya pula di Kuala Lumpur. Dahulu memang senang sebab kami boleh saling berjumpa. Hanya naik pesawat selama dua atau tiga jam, kami sudah boleh berjumpa. Sama ada saya ke Jakarta, atau dia datang ke Kuala Lumpur.

"Apabila PKP dilaksanakan, pada awalnya kami rasa masih boleh laluinya bersama sebab mungkin sekitar dua atau tiga minggu sahaja, tak jadi masalah kerana sudah biasa hubungan jarak jauh.

"Selepas PKP ini dilanjutkan kepada dua bulan, kemudian tiga hingga empat bulan, pastinya kami rasa ia amat sukar," katanya ketika dihubungi Astro AWANI.

Dia pada masa sama mengakui sukar untuk memperbaharui visa pasangan apabila terdapat syarat yang begitu ketat dilaksanakan Indonesia, selain dia secara fizikal perlu berada di republik itu.

Namun, Iedil menyedari cabaran luar biasa itu bukan hanya dilalui oleh dia dan isterinya itu, yang dikahwini pada tahun 2016. Lebih mencabar, menurutnya, jika hal yang sama dialami oleh pasangan jarak jauh yang mempunyai keluarga besar atau anak yang ramai.

"Kita masih perlu mengikut segala protokol yang ditetapkan kerana kita, satu dunia masih berperang dengan COVID-19. Kita kena pastikan semua ini selesai dahulu.

"Mungkin kita harus banyak buat pengorbanan dan ini juga pengorbanan yang amat besar untuk diri saya.

"Saya fikirkan masih banyak lagi pasangan lain yang mungkin dalam keadaan yang lebih sukar, misalnya keluarga yang ada anak-anak, yang perlu mereka jaga dan perlu berpisah lama mungkin itu lebih memberi tekanan kepada mereka," katanya.

Pasangan itu yang kali terakhir bertemu secara fizikal pada Ogos tahun lalu mengharapkan agar setiap lapisan masyarakat terus cekal dalam mendepani pandemik itu.

Dalam pada berperang melawan ancaman COVID-19, dan menunggu tibanya khabar gembira untuk bertemu semula suatu hari nanti, hanya harapan dan cinta meneguhkan jiwa-jiwa yang terpisah jarak.