Hari ini, setahun yang lepas, Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) yang dianggap ibu segala pilihan raya diadakan. Semuanya seperti yang sudah dikethaui umum, Barisan Nasional (BN) tetap kekal memerintah biarpun undi popularnya kurang berbanding Pakatan Rakyat yang terus berputih mata untuk menguasai Putrajaya.

Di pihak BN, ujian yang harus ditempuh mereka ialah sejauah mana, parti itu yang kekal membentuk kerajaan dapat mengawal isu-isu yang menyentuh soal perkauman dan agama. Rakyat melihat bagaimana, isu ini dikawal oleh BN, apakah masih seperti sebelum PRU13 atau menunjukkan perubahan.

Bahang ketegangan isu perkauman dan agama meningkat selepas PRU13, di saat rakyat mahukan isu tersebut tidak lagi dipolemikkan. Timbulnya isu-isu yang menyentuh sensitiviti rakyat Malaysia yang terdiri daripada pelbagai etnik dan agama menyebabkan perpaduan nasional di kalangan kalangan masyarakat teruji.

Penganut agama Kristian di Sabah dan Sarawak tidak berpuashati dengan pendirian kerajaan ekoran isu kalimah Allah yang menjadi pertikaian di semenanjung.

Beberapa siri himpunan kumpulan berhaluan kanan yang berbentuk perkauman dan menghina pemimpin pembangkang juga dibuat secara terbuka.

Pentadbiran Datuk Seri Najib Tun Razak tidak berpeluk tubuh melihat isu ini, sebaliknya, Perdana Menteri mahu isu perkauman dan agama ini diatasi dan dicari penyelesaian ke arah penyatuan nasional.

Untuk itu Majlis Konsultasi Perpaduan Negara (MKPN) ditubuhkan dan memainkan peranan dalam mengesyorkan "blue print" penyatuan nasional kepada kerajaan.

Manakala di pihak Pakatan Rakyat pula, kesepakatan yang cuba dibina selepas PRU12 sekali lagi teruji dengan isu hudud.

Keputusan PAS yang mahu membentangkan Rang Undang-Undang Persendirian di dewan rakyat sesi akan datang bagi membolehkan Enakmen Jenayah Syariah yang mengangdungi hukum hudud dilaksanakan di Kelantan menyebabkan DAP kecewa.

Jika PAS bertegas tetap mahu melaksanakan hudud, DAP pula tetap dengan pendirian mereka yang membantah hudud dengan alasan ia tidak selari dengan perlembangaan negara.

Isu hudud ini jika tidak ditangani secara baik, tidak mustahil akan menyebabkan sejarah Barisan Alternatif yang dianggotai PAS, DAP dan PKR berulang, gabungan tersebut berpecah kerana isu hudud.

Selain isu-isu yang menguji kesepakatan dan kaedah yang digunakan parti-parti politik menangani sesuatu isu, rakyat juga menuntut perubahan ketara dalam lanskap plitik negara.

Selepas PRU13, rakyat mahu melihat perubahan dalam lanskap politik negara, rakyat mahu ahli politik lebih memainkan peranan mereka sebagai wakil rakyat, membicarakan isu rakyat bukan mempolitik segala isu hingga rakyat menanggung beban.

Namun, realiti tidak pernah seindah mimpi, selepas PRU13, semua parti tidak kira BN atau Pakatan Rakyat kekal dengan politik murahan mereka hingga melupakan tanggungjawab terhadap rakyat yang memilih mereka.

Setiap hari ada sahaja isu yang dipolitikkan atas nama kepentingan politik peribadi atau parti, yang mana akhirnya rakyat yang terbeban dengan kerakusan ahli politik.

Felo Penyelidik Utama Institut Kajian Etnik (KITA), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Dr Mansor Mohamad Noor berkata sudah tiba masanya aktiviti berpolitik itu dihadkan ketika musim kempen pilihan raya sahaja.

Dr Mansor berkata, semua ahli politik tanpa mengira parti, sama ada BN atau Pakatan Rakyat perlu bersama membangunkan negara demi rakyat bukan mempartikan negara dengan menggunakan rakyat.

"Cukup-cukuplah berpolitik, hadkan ketika musim pilihan raya sahaja, bekerjasama bangunkan negara demi rakyat.

"Selepas pilihan raya umum ke-13, rakyat mahu ahli politik yang mempunyai ciri-ciri pemimpin nasional tetapi malangnya ahli politik pula mahu partikan negara, dan akhirnya rakyat jadi mangsa," katanya kepada Astro AWANI.

Katanya, ahli politik perlu sedar bahawa rakyat sudah bosan dengan sikap berpolitik sepanjang masa hingga melupakan agenda pembangunan negara.

Dr Mansor berkata, rakyat menanggung beban akibat sikap pemimpin daripada BN dan Pakatan Rakyat yang sentiasa mempolitikkan semua perkara yang berlaku.

"Masalah air di Selangor merupakan contoh mudah, ia adalah masalah yang betul berlaku tetapi akibat menjaga kepentingan politik maka rakyat dikorbankan," katanya.

Setahun selepas PRU13, politik negara sebenarnya masih lagi tidak matang, akibat kegagalan yang berpunca dari sikap pemimpin politik itu sendiri.

Tidak ada cara lain untuk mematangkan politik negara melainkan ahli politik tidak terlalu sibuk mempolitikkan semua perkara sebaliknya memberi perhatian untuk membangunkan negara.