KUALA LUMPUR: Setiausaha sulit kanan (SUSK) seorang menteri cedera selepas kereta dipandunya terbabit dalam kemalangan di Kilometer (KM) 14.6 Lebuh Raya Utara Selatan (PLUS) menghala ke Damansara di sini, tengah malam Ahad.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd Faisal, berkata kereta lelaki yang berusia 47 tahun itu dipercayai  terlanggar objek besi di tengah jalan sebelum terbabas lalu merempuh penghadang di kiri jalan.

"Objek besi tersebut berkemungkinan terjatuh daripada lori yang melalui jalan tersebut kerana di sekitarnya tiada kerja pembinaan sedang dijalankan pada waktu tersebut," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Menurutnya, mangsa kemudian dikejarkan ke Ara Damansara Specialist Hospital dan disahkan mengalami kecederaan patah tulang hidung dan pipi.

Katanya, kereta mangsa mengalami pelbagai kerosakan pada bahagian hadapan dan kes disiasat mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

"Orang ramai yang melihat atau mengetahui tentang kejadian, sila hubungi pegawai penyiasat trafik, Inspektor Mohd Al Rassid Borhanudin di talian 019-9905570 atau Bilik Gerakan IPD Petaling Jaya 03-79662176," katanya.