Shamsul Iskandar bayar ikat jamin hasil kutipan dana

Shamsul Iskandar ketika dibawa ke Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur hari ini. - Gambar/ Shahir Omar/ Astro AWANI
KUALA LUMPUR : Bekas Setiausaha Politik Kanan Perdana Menteri, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin membayar ikat jamin RM150,000 yang ditetapkan Mahkamah Sesyen hasil kutipan dana yang digerakkan oleh rakan-rakan serta pimpinan parti.
Peguam belanya, Mohd Yusmadi Yusoff berkata, jumlah jaminan tersebut melebihi kemampuan kewangan anak guamnya.
“Ini menyebabkan Shamsul terpaksa bergantung kepada sumbangan yang dikumpulkan secara pantas selepas prosiding pagi tadi.
“Shamsul tidak mampu menyediakan jaminan sebanyak itu, namun bantuan daripada pimpinan PKR dan sahabat-sahabatnya membolehkan perkara ini diselesaikan,” katanya ketika ditemui pada sidang akhbar di pekarangan Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur di sini pada Khamis.
Menurutnya, dua individu tampil menjadi penjamin iaitu seorang kenalan Shamsul dari Melaka serta seorang bekas pemimpin Angkatan Muda Keadilan (AMK).
Terdahulu, Pengerusi Biro Antarabangsa Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini atas satu pertuduhan bersetuju menerima rasuah RM100,000 dan tiga pertuduhan memperoleh wang serta kelengkapan perabot dan barangan elektrik berjumlah RM76,829.03, pada 2023 dan tahun lalu.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


