MALAYSIA
Shazeli Kahar Ketua Polis Selangor baharu

Shazeli (kanan) telah berkhidmat hampir 25 tahun memulakan kerjayanya sebagai pegawai polis di Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh, Perak sebelum dilantik ke pelbagai jawatan strategik di Bukit Aman.
SHAH ALAM: Komandan Maktab Polis Diraja Malaysia (PDRM) Kuala Lumpur, Datuk Shazeli Kahar dilantik sebagai Ketua Polis Selangor yang baharu berkuat kuasa hari ini.
Shazeli mengambil alih tugas Datuk Hussein Omar Khan yang dilantik sebagai Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman sejak 21 Julai lepas.
Jawatan itu sebelum ini dipangku Timbalan Ketua Polis Selangor, Mohd Zaini Abu Hassan.
Majlis pemakaian pangkat dan serah terima tugas Shazeli diadakan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor, disaksikan Pengarah Jabatan Logistik dan Teknologi (Jlog) Bukit Aman CP Gilberd Philip Layang.Shazeli dalam ucapannya berkata, pelantikan itu satu amanah besar yang dipertanggungjawabkan terhadap dirinya selain menzahirkan komitmen untuk meneruskan kecemerlangan pentadbiran kontinjen serta memastikan keamanan dan ketenteraman di Selangor kekal terjamin.
"Sebagai Ketua Polis Selangor yang baharu saya menyedari harapan masyarakat dan warga PDRM terhadap kepimpinan yang berintegriti dan berwibawa seta dekat di hati.
"Justeru, saya bertekad meneruskan legasi kecemerlangan yang telah dibina serta memacu perubahan demi memastikan keselamatan dan kesejahteraan Selangor kekal terpelihara," katanya.
Shazeli, 50, yang telah berkhidmat hampir 25 tahun memulakan kerjayanya sebagai pegawai polis di Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh, Perak sebelum dilantik ke pelbagai jawatan strategik di Bukit Aman.
Beliau sebelum ini pernah memegang jawatan dalam Cawangan Khas termasuk melibatkan ekstremis sosial dan pelampau agama sebelum diberi tanggungjawab mengetuai Cawangan Khas di Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami