Golongan pendidik di Sarawak perlu bersedia mempersiapkan diri dalam usaha melahirkan modal insan menerusi kaedah pendidikan secara digital.

Demikian saranan Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg menerusi ucapan perasmian sambutan Hari Guru peringkat negeri Sarawak yang diraikan secara digital di Kuching pada Selasa.

Tambahnya Sarawak memerlukan sokongan padu golongan tersebut dalam membina keupayaan dan kompetensi murid agar mereka mampu menjadi kuasa siber dan kuasa kognitif.

“Sarawak memerlukan keupayaan ini bagi mengangkat martabat dan maruah serta menggerakkan negeri ini terus ke hadapan.

“Dengan usaha ini, tidak mustahil Sarawak dengan 2.8 juta penduduknya bakal muncul sebagai sebuah negeri yang bukan hanya setanding dengan negeri-negeri lain di Malaysia malah dipandang tinggi di persada dunia,” kata Abang Johari.

BACA: Sarawak sentiasa sokong agenda pendidikan negara

Selain itu ujarnya, selari dengan perkembangan teknologi, kerajaan negeri Sarawak komited dalam memperkukuhkan jaringan jalur lebar khusus di kawasan luar bandar.

“Saya menyeru agar para guru faham bahawa kerajaan Sarawak terus komited untuk memastikan penembusan dan kepantasan internet di negeri ini dapat ditingkatkan.

“Inisiatif ini penting dalam usaha kita untuk menjayakan ekonomi digital serta dalam usaha menghadapi cabaran dan persaingan global, kerajaan Sarawak akan terus komited untuk membina infrastruktur yang berkaitan,” tambahnya.