Siasatan beberapa kes berprofil tinggi akan disiapkan dalam masa terdekat - Azam Baki

Azam berkata, pegawai penyiasat SPRM akan menjalankan siasatan secara lebih mendalam, termasuk kaitan antara aliran wang dengan motif. - Gambar fail
PUTRAJAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan menyiapkan kertas siasatan beberapa kes berprofil tinggi dalam tempoh terdekat, kata Ketua Pesuruhjaya Tan Sri Azam Baki.
Ringkasan AI
- SPRM akan menyiapkan kertas siasatan beberapa kes berprofil tinggi dalam tempoh terdekat, pegawai penyiasat dilibatkan untuk siasatan mendalam termasuk kaitan aliran wang, bagi memastikan kertas siasatan lengkap dan kukuh.
- SPRM menyiasat kes rasuah berkaitan Tentera Darat Malaysia (TDM) serta bekas menteri yang didakwa menerima RM5 juta daripada syarikat pemaju, termasuk memperincikan status siasatan akan dibuat dalam sidang media esok.
- Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki akan berjumpa Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin bagi membincangkan isu perolehan dalam Kementerian Pertahanan yang berskala besar dan perlu 'dibersihkan'.
"Kita ke arah menyiapkan kertas siasatan dalam tempoh terdekat bagi kes yang saya maksudkan tadi," katanya pada podcast (audio siar) Sembang Tamu yang disiarkan menerusi Facebook SPRM hari ini.
Pada masa ini, SPRM sedang menyiasat kes rasuah berhubung perolehan Tentera Darat Malaysia (TDM), yang melibatkan beberapa pegawai tertinggi selain menyiasat seorang bekas menteri yang didakwa menerima wang kira-kira RM5 juta daripada satu syarikat pemaju bagi projek papan iklan dan urusan pemindahan tanah di ibu negara.
Mengulas mengenai siasatan kes rasuah melibatkan TDM, Azam berkata beliau akan bertemu Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin pada Rabu depan bagi membincangkan isu dalam proses perolehan Kementerian Pertahanan (MINDEF).
Beliau menegaskan isu perolehan dalam kementerian itu berskala lebih besar daripada kes yang disiasat pihaknya dan perlu lebih 'dibersihkan'.
"Kerana yang kita nak lihat itu bukan hanya kes yang kita ada sekarang, tetapi skala yang lebih besar daripada itu.
"Tentang isu perolehan dalam MINDEF, pembersihan seperti yang disebut Datuk Seri Mohamed Khaled, perlu dilakukan dan kita perlu bersama-sama dalam hal ini," katanya.
Azam berkata perincian status terkini berhubung siasatan berkenaan akan dibuat dalam sidang media esok.
Pada 23 Dis lepas, SPRM hadir ke MINDEF dan menyiasat projek-projek yang dilaksanakan melalui kaedah perolehan secara tender terbuka serta perolehan di bawah Pusat Tanggungjawab (PTJ) Tentera Darat.
Pada 8 Jan, seorang bekas Panglima Tentera Darat direman tujuh hari, manakala kedua-dua isterinya masing-masing direman enam dan tiga hari bagi membantu siasatan.
SPRM turut menyita emas, kenderaan utiliti sukan berprestasi tinggi (SVR) dan wang tunai dalam pelbagai mata wang asing dianggarkan bernilai RM6.9 juta serta 23 utas jam tangan jenama Rolex pelbagai model, dengan anggaran nilai pasaran semasa berjumlah kira-kira RM2 juta.
Seorang lagi pegawai tinggi Angkatan Tentera Malaysia (ATM) turut ditahan hari ini bagi membantu siasatan berhubung satu kes rasuah melibatkan pasukan beruniform itu.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


