KUALA LUMPUR: Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar memberi jaminan beliau tidak akan mengganggu atau mencampuri tugas dijalankan pasukan petugas khas bebas untuk menyiasat isu buli di hospital.

Tegasnya, pasukan itu diberi kebebasan sepenuhnya untuk menjalankan siasatan yang dirasakan perlu bagi melengkapkan tugas mereka.

“Pasukan petugas ini sudah mengadakan mesyuarat yang pertama dan saya bagi kebebasan kepada mereka untuk buat apa sahaja.

“Saya tidak akan ganggu sebab ini merupakan pasukan petugas khas yang bebas dan mereka berjanji dalam tempoh dua bulan akan hantar laporan kepada saya.

“Jadi sekarang ini kita bagi peluang kepada pasukan petugas khas ini untuk buat kerja mereka,” katanya pada sidang media selepas merasmikan program Hari Asma Sedunia 2022 di sini pada Khamis.

BACA: Kematian doktor pelatih HPP: KKM tubuh 'taskforce', siasat budaya buli - Khairy

BACA: Buli: Senarai nama diterima turut melibatkan doktor pakar - Khairy

Tambah Khairy, beliau juga telah mengarahkan semua agensi di bawah Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk memberikan kerjasama sebaiknya kepada pasukan tersebut.

“Semua pihak perlu memberikan kerjasama kepada pasukan petugas khas ini dan mereka boleh berjumpa dengan sesiapa sahaja, pegawai atau kakitangan semua agensi di bawah KKM.

“Mereka tidak perlu menyembunyikan apa-apa daripada pasukan petugas khas ini supaya semua maklumat dapat diperolehi,” katanya.

Khairy sebelum ini mengumumkan penubuhan pasukan petugas khas bebas susulan insiden melibatkan kematian seorang pegawai perubatan siswazah (PPS) di Hospital Pulau Pinang (HPP) sebelum itu.

Pasukan itu juga ditubuhkan seusulan terdapat laporan dan aduan diterima berkaitan kejadian buli serta masalah tekanan mental yang dihadapi kakitangan kesihatan di bawah kementeriannya.

Pasukan petugas itu dianggotai kumpulan pakar dan dipengerusikan bekas Ketua Setiausaha Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Datuk Dr Siti Hamisah Tapsir.