Ketua Menteri Datuk Seri Musa Aman mahu Jabatan Hidupan Liar dan Jabatan Perhutanan segera membuat siasatan menyeluruh berhubung kematian 10 ekor gajah di Tawau baru-baru ini.

Beliau berkata kerajaan memandang serius perkara itu kerana gajah Pygmy Borneo merupakan spesis terancam.

"Ia tidak boleh diterima. Saya mahu siasatan menyeluruh tentang perkara ini. Pihak terbabit perlu dibawa ke muka pengadilan," katanya.

Beliau diminta mengulas kenyataan Pengarah Jabatan Hidupan Liar Sabah, Datuk Laurentius Ambu semalam bahawa 10 ekor gajah Borneo ditemui mati dalam tempoh dua minggu di hutan simpan di Tawau.

Laurentius dipetik sebagai berkata tujuh daripada gajah itu adalah jantan dan tiga betina dari satu kumpulan, yang seekor anak gajah berumur kira-kira tiga bulan didapati masih hidup di sisi seekor gajah yang dipercayai ibunya.

Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Negeri, Datuk Masidi Manjun dilapor sebagai berkata penemuan kematian gajah-gajah itu di Hutan Simpan Gunung Rara merupakan hari paling sedih buat usaha pemeliharaan Sabah.

"Kematian gajah Borneo yang hebat dan terancam ini merupakan kehilangan besar kepada negeri ini. Walaupun agak awal untuk menunjuk sebab kematian, racun mungkin merupakan sebabnya," kata beliau.

Melahirkan rasa terkejut, Musa berkata gajah-gajah ini merupakan sebahagian hidupan liar Sabah yang kaya dan eksotik dan perlu dilindungi.

"Orang ramai dari seluruh dunia datang semata-mata mahu melihat gajah-gajah ini. Adalah malang terdapat orang yang sanggup melakukan perbuatan terkutuk ini," katanya.